Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

Selepas foto spyshot Xpeng X9 dikesan pada hujung Disember lalu, Bermaz Xpeng (anak syarikat Bermaz Auto) akhirnya bersedia untuk mendedahkan MPV elektrik tujuh-tempat duduk ini buat pertama kalinya di Glenmarie Golf & Resort dalam majlis makan malam bersama pihak media tempatan.

Walau bagaimana pun, difahamkan model pemanduan sebelah kanan (RHD) ini masih lagi unit R&D dan bakal dilancarkan tidak lama lagi untuk pasaran Malaysia. Buat masa ini, belum ada perincian penuh termasuk harga jangkaannya yang dikongsikan oleh Bermaz Xpeng.

Berkongsi platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) SUV EV G6 yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos lalu, X9 mempunyai ukuran 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dan jarak roda 3,160 mm.

Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

Untuk menampakkan kelainannya berbanding MPV biasa, X9 ini diberikan rekaan imej yang lebih menyerlah. Terutamanya bahagian belakangnya yang seakan melunjur menampakkan ia agak agresif, dan bahagian hadapannya pula ditampilkan dengan pencahayaan dua peringkat (lampu nyalaan atas dan lampu utama bawah). Selain itu, ciri yang menyerlah termasuk paten jejaring sarang lebah menyerlahkan bahagian hadapannya, pemegang pintu ‘flush pop-up’ dan pintu belakang gelangsar.

Di dalamnya, X9 menerima sistem infotainment skrin sesentuh 17.3-inci, bersama paparan kluster instrumen digital 10.25-inci. Untuk penumpang belakang pula, diberikan paparan 21.4-inci yang dipasang di bahagian siling serta tempat duduk gaya-airline untuk barisan kedua yang turut diberikan ciri pemanas, pengaliran udara dan urut. Ia juga diberikan bentangan 2-2-3 untuk tujuh-tempat duduknya.

Untuk penjana kuasanya, mungkin ia lebih kurang sama dengan versi yang dipasarkan untuk Hong Kong. Di sana, X9 didatangkan dengan motor elektrik pemasangan hadapan dengan kuasa 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan 450 Nm, membolehkannya ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan kelajuan maksimumnya mampu dicapai hingga 200 km/j.

Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

Di China, X9 turut diberikan versi pacuan roda hadapan yang dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) 84.5 kWj yang memberikan jarak sehingga 610 km mengikut kitaran CLTC. Ia menyalurkan tenaga kepada sebuah motor elektrik dengan janaan 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan 450 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Ada juga varian sama dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti lebih besar, 101.5 kWj yang memberikan jarak 702 km.

Turut ditawarkan ialah varian pacuan semua roda dengan bateri NMC yang sama dan dua motor elektrik, dengan output keseluruhan sistem 503 PS (496 hp atau 370 kW) dan 640 Nm — membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan jarak 640 km, serta laju maksimum yang sama 200 km/j.

Pengecasan pantas DC juga ada, dengan Xpeng mendakwa “pengecasan super-pantas 3C” dengan C itu merujuk kepada berapa kali bateri tersebut boleh dicas dalam sejam. MPV ini boleh mencapai tahap bateri 10-80% dalam 20 minit, serta ada juga fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti output 3.3 kW.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required