Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan untuk menamatkan pengecualian tol di lebuhraya semasa musim perayaan belum muktamad dan mungkin masih disemak semula, laporan The Star.
“Bolehkah keputusan ini berubah? Ya, boleh. Kita akan ketahui esok (Jumaat ini). Sama ada kekal atau bertukar, kabinet mempunyai kuasa untuk menyemak keputusannya,” kata Ahmad semasa lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya Selangor semalam.
Tambah beliau lagi, “Jika ada keputusan baharu, Menteri Kerja Raya akan mengeluarkan pengumuman, kerana esok (hari ini) adalah hari terakhir untuk memuktamadkan keputusan itu sempena Tahun Baharu Cina akan datang.”
Ahmad Maslan juga berkata pemberian tol percuma dalam sehari sahaja menelan kos antara RM19 juta dan RM20 juta sebagai subsidi untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya. “Setiap tahun, kita menyediakan pemberian tol percuma sebanyak lapan kali, bersamaan dengan lapan hari tol percuma sepanjang empat musim perayaan. Apa yang diumumkan oleh menteri mencerminkan keputusan kabinet tahun lepas,” jelasnya.
Awal minggu ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan bahawa tiada lagi pemberian kadar tol percuma untuk musim perayaan mulai tahun ini, namun ia akan digantikan dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.