Awal bulan ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengesahkan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang yang Dikilangkan Secara Tempatan bagi Maksud Melevi Duti Eksais) 2019, yang menentukan cara mengira Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan CKD ditangguhkan sekali lagi, sehingga 31 Disember 2025.
Tanpa penangguhan ini, peraturan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019 ini boleh menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) naik sehingga 30%, dan boleh merosakkan jualan kenderaan baru dalam negara. Kejatuhan jumlah jualan kemudiannya akan memberi kesan pula kepada pengeluaran alat ganti OEM tempatan berserta banyak pembekalnya, dan juga membawa kepada kehilangan kerja.
Kita sudah mendengar punca yang membawa kepada kebimbangan MAA dan Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA), tetapi tahukah anda bahawa industri motosikal dan pembeli motosikal juga akan menerima kesan daripada pelarasan semula OMV ini?
Presiden Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM), Hoo Wan Tim memberitahu paultan.org bahawa harga motosikal CKD akan naik sehingga 20%, seterusnya memberi kesan kepada mereka yang termasuk dalam golongan B40 dan M40.
“Sejajar dengan MAA dan MACPMA, MASAAM juga mahukan kerajaan supaya melihat semula kepada situasi OMV/402 untuk mengelakkan kesan kos yang ketara kepada kehidupan pengguna. Terutamanya apabila berkenaan motosikal, pengguna kita yang kebanyakannya terdiri daripada B40 dan M40 akan menerima kesan yang lebih jelas.” kata Hoo.
“Untuk motosikal, kenaikan harga untuk model pemasangan tempatan adalah antara 10% ke 20%. Sebagai contoh, jika sesebuah motosikal itu sekarang harganya RM10,000, dengan pelarasan semula duti eksais ini, model sama perlu dijual pada harga RM11,000 atau RM12,000 pada tahun hadapan. Bagi mereka yang memerlukan pengangkutan asas, termasuk yang bertugas dalam gig ekonomi (penghantar bermotosikal), ini adalah kenaikan yang tinggi,” kata beliau.
Hoo juga menjelaskan bahawa pasaran motosikal dalam negara kebanyakannya adalah CKD. “Sementara kereta ada pilihan luas model CKD dan CBU untuk pengguna, industri motosikal pula lebih dikuasai model CKD. Lebih 90% dalam pasaran, terutamanya model mampu milik adalah CKD,” kata beliau.
Sebelum ini kami ada menunjukkan jika jurang harga antara kenderaan CKD dan CBU (import penuh) semakin rapat akibat daripada peningkatan harga yang disebabkan oleh OMV ini, pengeluar kereta tidak akan peduli untuk bersusah payah mengeluarkan kereta dalam negara dan terus mengambil kenderaan CBU – ini akan membawa banyak kerugian kepada industri dan negara. Sama juga keadaannya bagi industri motosikal.
“Dalam industri, keadaan ini juga berkemungkinan membuka peluang kepada pengimport untuk masuk ke dalam negara, kerana apabila kos CKD naik, pemain CBU yang tidak membuat sebarang pelaburan dalam negara boleh membawa kenderaan ke dalam Malaysia,” kata Hoo sambil menambah bahawa kerajaan sepatutnya mengambil kira pandangan yang sama rata antara menaikkan jumlah kumpulan cukai dalam tempoh pendek dan menarik pelaburan.
“MITI dan MoF perlu melihat kepada keseimbangan antara potensi pengumpulan jumlah cukai dan membawa pelaburan baru ke dalam negara. Pada masa sama, mereka juga perlu menjaga syarikat yang telah membawa kita sampai ke tahap sekarang, terutamanya yang telah membina kilang, operasi CKD, mengambil pekerja tempatan dan memberi sokongan kepada ekosistem rangkaian bekalan tempatan,” kata beliau.
“Pengeluar yang besar mungkin boleh menyerap sedikit kesan tersebut, tetapi ada pemain kecil yang tidak mempunyai keupayaan seperti itu. Dengan itu, beban akan sampai pula kepada pelanggan. Dan akhirnya, jika syarikat itu tidak mampu untuk menjual motosikal mereka pada harga terpaksa dinaikkan itu, kita mungkin akan melihat orang kehilangan kerja dalam bahagian jualan, pengeluaran dan juga rangkaian bekalan,” kata presiden MASAAM itu.
Sebagai penjelasan, OMV, yang juga dipanggil sebagai ‘402’ ini boleh didefinasikan sebagai harga pasaran muktamad kenderaan CKD tersebut selepas keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan sebarang duti eksais ke atasnya. Jadi secara asasnya ia terdiri dari kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta kos pemasangan dan pantadbiran. Ia tidak sama dengan sistem yang digunakan untuk kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) di mana untuk jenis ini harga tersebut adalah berdasarkan Kos, Insuran dan Pengankutan (CIF) yang akan dikenakan duti import dan eksais.
Semasa di bawah kerajaan Pakatan Harapan, peraturan-peraturan baharu ini menetapkan bahawa dalam mengira OMV, ia bukan hanya perlu mengambilkira keuntungan dan perbelanjaan am yang ditanggung atau diambil kira dalam pembuatan kenderaan, tetapi juga penjualannya.
Klausa “jualan” inilah yang menggusarkan pemain industri, kerana ia melibatkan bidang seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, karya seni, kerja reka bentuk, pelan dan lakaran, pembayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagangan, hak cipta). Ia boleh dianggap sebagai ‘kos kilang’ ditambah dengan ‘kos pejabat’.
Peraturan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun 22 hari selepas sambutan tahun baharu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa kementerian kewangan telah menangguhkan pelaksanaannya sehingga 2021. Menjelang akhir 2021 ia ditangguhkan lagi, dan MAA terus sekali lagi membuat rayuan kepada kerajaan pada 2022 dan seterusnya berjaya ditangguhkan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Disember 2024. Terbaru – disahkan bulan ini – ia ditangguhkan sehingga 31 Disember 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.