Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip sebanyak RM425,104 membabitkan 332 saman tertunggak pemandu warag asing yang diselesaikan sejak penguatkuasaan Op Tunggak bermula 1 Januari lalu.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, angka itu direkodkan setakat 24 Januari lalu dan dalam tempoh itu juga seramai 182 pemandu warga asing dengan 163 kenderaan dikesan mempunyai saman tertunggak, manakala 172 kenderaan lain diambil tindakan membabitkan 619 notis JPJ (P) 22 yang dikeluarkan, laporan Harian Metro.
“Dalam operasi itu, sebanyak 16 van Thailand disita dengan kesalahan paling banyak adalah salahguna Permit Edaran Antarabangsa (ICP). Ada sebuah van Thailand yang ditahan di Perlis didapati terdapat 85 tunggakan saman sejak tiga tahun lalu dan pemiliknya sudah menyelesaikan semua tunggakan bernilai RM25,500.
“Selain salah guna ICP, kesalahan lain yang dikesan ialah cermin gelap. Walaupun ia dibenarkan di negara mereka (Thailand), tapi bila masuk ke negara kita, perlu patuhi undang-undang di sini,” katanya sambil menambah ICP hanya dikeluarkan kepada kenderaan persendirian dalam tempoh 90 hari berada dalam negara ini, sebaliknya ada pemandu warga asing menyalahgunakan dengan membawa penumpang.
Beliau berkata, kesalahan itu tidak boleh dikompromi kerana melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) selain boleh mendatangkan kesan buruk kepada banyak pihak berikutan perlindungan insuran.
Katanya lagi, selain membawa penumpang sama ada warga asing atau tempatan, van Thailand yang tiada ICP juga mengangkut warga mereka yang bekerja di pelbagai premis terutama kedai makan.
“Ramai yang menyalahgunakan ICP kerana permit itu sepatutnya untuk kenderaan persendirian dan tidak boleh membawa penumpang tapi bila dia (pemandu asing) masuk dalam negara kita, dia bawa penumpang, itu tak dibenarkan.
“Kita tidak ingin isu salahguna ICP ini berterusan selain bimbang jika berlaku kemalangan membabitkan kenderaan ini, tiada insurans yang dilindungi dan mungkin akan menjadi isu kerana membabitkan mangsa, pemandu serta kerajaan kedua-dua negara. Kita akan teruskan penguatkuasaan terhadap kenderaan Thailand ini bagi meningkatkan pematuhan peraturan jalan raya dan diharapkan lebih ramai akan tampil menyelesaikan saman tertunggak,” katanya.
JPJ melaksanakan Op Tunggak sejak 1 Jan lalu di negeri-negeri sempadan dengan tumpuannya di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi mengesan kenderaan asing terutama dari Thailand yang melanggar undang-undang.
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, operasi khas berkenaan dijalankan sepanjang tahun bermula semalam (1 Januari 2025) bertujuan mengesan pemandu asing yang mempunyai saman tertunggak dan mengambil tindakan tegas, termasuk mengarahkan pemandu untuk membayar saman secara serta-merta sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.