Sejumlah 58 kawasan hotspot dan 16 blackspot kemalangan jalan raya dikenalpasti di Kuala Lumpur oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Op Lancar pada Op Selamat 23 sempena Tahun Baru Cina ini. Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob, Op Lancar dilaksanakan bermula 24 Januari lalu sehingga 2 Februari ini bagi memastikan keselamatan dan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.
“Antara kawasan hotspot termasuk Jalan Tun Razak, susur Bulatan Pahang, Jalan Ampang, Jalan Dato Keramat dan lain-lain. Manakala kawasan blackspot antaranya Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Lebuhraya Duke, Lebuhraya MRR2, Lebuhraya Seremban, Jalan Cheras, Lebuh raya Besraya, Jalan Kepong dan Jalan Tun Razak,” katanya sambil menambah Op Selamat 23 juga memberi tumpuan kawalan lalu lintas di sekitar pusat ibu kota supaya dapat diatasi dengan sebaik mungkin dan memberi keselesaan bagi meraikan perayaan bersama keluarga, laporan Harian Metro.
Sementara itu, laporan Bernama pula menyebut, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Khalid Othman memaklumkan terdapat tiga lokasi blackspot yang kerap berlaku kemalangan maut di negeri tersebut. Ia membabitkan Jalan Port Dickson-Lubuk China, Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang (Jelebu) dan Kuala Pilah-Jalan Seremban.
Manakala lokasi laluan hotspot di Negeri Sembilan dijangka mengalami kesesakan dijangka berlaku di beberapa tempat di semua daerah negeri ini terutamanya enam lokasi di Seremban, Port Dickson dan Nilai (tiga), dua lokasi di Tampin dan Rembau dan satu lokasi di Kuala Pilah, Jempol, dan Jelebu.
Di Perak pula, polis mengenalpasti 21 lokasi blackspot yang sering berlaku kemalangan ketika musim perayaan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata antara lokasi tersebut ialah KM114-KM117 Jalan Ipoh-Butterworth, KM17.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (Lubuk Buaya), KM1 Jalan Teluk Intan-Bidor serta KM16 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, laporan Astro Awani.
Selain itu, 43 kawasan hotspot dikenalpasti sebagai lokasi yang kerap berlaku kesesakan jalan raya disebabkan pertambahan kenderaan semasa musim perayaan. “Antara laluan yang dikenal pasti ialah lampu isyarat Plaza Tol Slim River, KM73 Jalan Teluk Muroh-Sungai Wangi, iaitu berhampiran lampu isyarat Kampung Lumut Kiri, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (Plaza Tol Gopeng) dan Pekan Selama,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.