Geely mengumumkan bahawa ia telah memproduksi sejumlah 100,000 unit SUV EV Galaxy E5 di China pada 29 Januari lalu, hanya selepas lima bulan berada dalam pasaran dengan pelancaran yang dibuat pada Ogos 2024.
Menurut laporan CarNewsChina, secara purata Geely menghantar sekitar 15,000 unit Galaxy E5 kepada pelanggan setiap bulan. Pada 2024, sebanyak 77,685 unit model ini telah terjual, di mana 40,000 unit pertama telah dihantar kepada pelanggan dalam masa 85 hari selepas pelancarannya. Selepas 100 hari angka tersebut meningkat kepada 50,000 unit, dan kemudian mencapai 60,000 unit pada hari ke-119.
Di China Geely Galaxy E5 ditawarkan dalam lima varian dengan dua kapasiti bateri berbeza, dijual pada harga bermula 109,800 hingga 145,800 yuan (sekitar RM68k hingga RM90k). Namun kesemuanya hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik berkuasa 218 PS dan tork 320 Nm, bagi memacu roda hadapan yang menerima kuasa dari bateri lithium logam fosfat (LFP) ‘bilah pendek’ dari Aegis, iaitu pengeluar bateri milik Geely sendiri.
Bagi pilihan bateri kecil, ia dibekalkan dengan bateri berkapasiti 49.52-kWj bagi memberikan jarak perjalanan sejauh 440 km berdasarkan ujian CLTC. Manakala pilihan bateri lebih besar menerima bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak CLTC sejauh 530 km. Prestasi kedua-dua versi ini adalah sama di mana ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j.
Untuk mengecas pula, sistem AC biasa membolehkan bateri 49.52 kWj dipenuhkan dari 10-100% dalam masa 7.5 jam, manakalan bateri 60.22 kWj pula mengambil masa sembilan jam. Sistem pengecas pantas DC juga diberikan dengan kemampuan memenuhkan bateri dari 30-80% dalam masa 20 minit untuk semua varian.
Galaxy E5 ini merupakan model pertama Geely yang diperkenalkan terus dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan sebelah kanan (RHD). Ini membolehkan ia turut sudah dilancarkan di beberapa pasaran eksport seperti Thailand, Indonesia dan Hong Kong, dikenali dengan nama Geely EX5.
Model ini juga sudah dijelmakan sebagai Proton dengan nama eMas 7 – walaupun sudah dilancarkan di Malaysia pada Disember tahun lalu, ia masih dibawa ke sini sebagai unit CBU yang diimport dari China. Dua varian ditawarkan di sini iaitu Prime dan Premium, dijual pada harga bermula RM105,800 hingga RM119,800.
Unit rangkaian kuasa yang diberikan pada eMas 7 sama seperti yang ditawarkan pada Galaxy E5, di mana varian Prime menerima bateri 49.52 kWj dengan jarak gerak WLTP yang lebih tepat sejauh 345 km, manakala varian Premium diberikan bateri 60.22 kWj dengan jarak gerak WLTP 410 km.
Minggu lalu Proton telah mengesahkan bahawa hampir 4,000 tempahan bagi eMas 7 ini diterima, dengan kebanyakkan pelanggan memilih varian paling mahal iaitu Premium. Proton mensasarkan untuk menghantar 1,000 unit eMas 7 kepada pelanggan menjelang akhir Februari ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.