Kejadian ini memang biasa berlaku atas jalan di Malaysia, terutamanya di lebuh raya. Sedang kita berada di lorong kanan pada kelajuan sepatutnya, tiba-tiba di hadapan ada kereta yang lebih perlahan mengganggu. Meskipun sudah diberi amaran dengan mengangkat lampu tinggi atau menggunakan penunjuk arah, mereka masih kekal di lorong kanan sedangkan lorong di sebelah kiri kosong.
Inilah yang dipanggil sebagai ‘lane hogging’. Ia bukan setakat boleh menjadi penyebab rantaian kesesakan, tetapi juga boleh membawa kepada kemalangan kerana pemandu lain perlu memotong mereka menggunakan lorong di sebelah kiri. Antara puncanya adalah tidak peka ketika memandu, atau kurang tumpuan kerana perbuatan lain seperti menggunakan telefon bimbit.
Ramai yang masih ingat, mereka layak untuk berada di lorong kanan selagi hampir dengan kelajuan maksimum, tetapi tahukah juga anda boleh dikenakan saman jika memandu santai atau menghalang kenderaan lain apabila berada di lorong kanan.
Dalam satu temu ramah dengan Buletin Utama TV3, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu bahawa ini adalah satu peri laku yang tidak bertanggung jawab dan boleh dikenakan saman antara RM300 hingga RM2,000.
“Jika pemandu mahu mengurangkan kelajuan, mereka hendaklah mengubah laluan ke lorong kiri untuk memberi laluan kepada pengguna lain untuk meneruskan perjalanan dengan lancar dan mengikut kelajuan yang ditetapkan,” kata beliau.
Jadi selepas ini, amalkan disiplin dan timbang rasa apabila berada di atas jalan raya. Gunakan lorong kiri apabila bergerak dalam kelajuan biasa dan masuk ke kanan hanya apabila mahu memotong. Ia bukan sahaja boleh menjadikan jalan raya lebih lancar, tetapi juga lebih selamat untuk anda dan juga orang lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.