Polis Kuala Lumpur telah menyerbu aktiviti Mat Rempit dalam satu operasi khas besar-besaran pada malam Sabtu lalu, dengan memeriksa sejumlah 1,500 kenderaan di Jalan Loke Yew, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak.
Dalam Op Tutup yang dijalankan sebagai sebahagian daripada Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tumpuan kepada penunggang motosikal yang berkumpul di pelbagai lokasi sekitar bandar raya ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihak berkuasa mengeluarkan lebih 1,000 saman atas pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu, 789 saman dikeluarkan oleh polis, manakala 250 lagi dikeluarkan oleh JPJ.
Tambahnya, dalam operasi yang dijalankan oleh 75 anggota polis itu, sebanyak 72 motosikal disita kerana modifikasi secara haram dan lima individu berusia antara 15 dan 25 tahun ditahan kerana menggunakan nombor plat palsu (tiga kes), curi kenderaan (satu kes) dan penyalahgunaan bahan psikotropik (satu kes).
Mohd Zamzuri berkata, operasi itu bertujuan mengurangkan insiden lalu lintas dan menghalang penunggang motosikal daripada berkumpul untuk menunjuk-nunjuk (show off) dan terbabit dengan perlumbaan haram.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.