Toyota masih kekal sebagai jenama automotif paling laris di dunia, di mana gelaran itu dirangkul buat kali kelima berturut-turut sejak 2019. Ia dicapai dengan jualan keseluruhan berjumlah 10.8 juta kenderaan sepanjang 2024, dan sekali lagi mengalahkan Volkswagen yang masih kekal di kedudukan kedua.
Jumlah berkenaan bukan sahaja jualan untuk jenama Toyota, malah termasuk sekali jenama lain di bawah payung gergasi automotif Jepun tersebut iaitu Lexus, Daihatsu dan Hino. Namun jika dibandingkan dengan rekod 11.2 juta unit yang dicatat pada 2023, jumlah jualan tahunan Toyota bagi 2024 ini sebenarnya turun sebanyak 3.7%.
Penurunan berkenaan dikenalpasti berpunca dari pasaran domestik Jepun sendiri di mana Toyota berhadapan dengan isu skandal ujian keselamatan di sana, terutamanya yang membabitkan divisi kereta kompaknya iaitu Daihatsu. Bagi dua jenama utama kumpulan tersebut iaitu Toyota dan Lexus, jumlah jualan yang dicatatkan adalah 10.2 juta, jatuh 1.4% kerana jualan kenderaan yang berkurang di Jepun.
Menurut Toyota, jualan kenderaan dengan unit rangkaian kuasa hibrid adalah mewakili 40.8% dari jumlah jualan keseluruhan, sementara kenderaan elektrik bateri (BEV) pula hanya 1.4%. Ia juga menambah permintaan untuk model-model hibrid berkenaan sangat tinggi di Amerika Syarikat, namun pada pasaran automotif terbesar dunia iaitu China, jualan segmen tersebut jatuh 6.9% kerana perang harga yang menyebabkan pemotongan harga agresif sedang berlaku di sana.
Manakala bagi Volkswagen, jualan bagi gergasi automotif Jerman itu jatuh 2.3% tahun lalu kepada sekitar 9 juta kenderaan. Volkswagen turut berhadapan dengan krisisnya sendiri di mana ia pernah mengambil kira untuk menutup beberapa kilangnya di Jerman pada September lalu, namun langkah itu kemudiannya dibatalkan.
Volkswagen juga turut merancang untuk membuang sebanyak 35,000 pekerjannya di Jerman menjelang 2030 bagi membantu untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 1.5 bilion euro (RM7.03 bilion) setiap tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.