Jika kebanyakkan jenama automotif, termasuk jenama-jenama prestasi yang kini ‘melonggarkan’ peralihan kepada elektrik penuh, perkara ini tidak berlaku kepada Aston Martin – ini kerana jenama kereta sport British itu hanya bercadang untuk memperkenalkan model elektrik penuh (EV) pertamanya menjelang 2030 dan model hibrid pertama menjelang 2035.
Perkara ini disebut oleh CEO Aston Martin Adrian Hallmark dalam laporan Autocar. Manakala dalam laporan Drive, Hallmark menyatakan bahawa syarikatnya akan terus menawarkan model-model dengan enjin V12 sehingga 2030 nanti.
“Ia merupakan sasaran bergerak yang kami tidak dapat pastikan. [Enjin V12] akan kekal sehingga 2028 sekiranya tiada [yang berubah],” kata Hallmark dan menjelaskan jumlah penghasilan lebih kecil akan diteruskan sehingga 2030. “Ada dua darjah kebebasan. [Dalam] perundangan, kami sentiasa mendapat pengurangan untuk volum rendah. Jadi sekiranya kami menghasilkan 100,000 12-silinder setahun, ia adalah 2028,” tambahnya.
Jelas Hallmark lagi, sekiranya Aston Martin mengimport antara 150 hingga 300 unit kereta dengan enjin V12 ke Amerika Syarikat, syarikat itu boleh memohon pengurangan terhadap kenderaan-kenderaan yang dihasilkan dalam jumlah yang sedikit, dan ini turut digunakan di Eropah.
Buat masa sekarang Hallmark memberitahu bahawa permintaan pelanggan terhadap Aston Martin Vanquish yang dijana oleh enjin V12 5.2 liter dengan turbo berkembar lagi tinggi. Kuasa 835 PS/1,000 Nm masih dari enjin berkenaan dialir ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan.
Walau bagaimanapun, dalam laporan Motor1 Aston Martin mensasarkan untuk memperkenalkan semula kotak gear manual enam-kelajuan pada model-model biasanya. Kotak gear manual tersebut kini ditawarkan hanya pada model edisi terhad Aston Martin Valour yang diperkenalkan bermula 2023 dan juga Valiant tahun lalu. Model biasa terakhir Aston Martin yang diberikan transimi manual adalah Vantage AMR pada 2019.
Manakala untuk EV, Aston Martin hanya mensasarkan untuk menjual 15% dari keseluruhan jualannya, manakala 85% selebihnya adalah model dengan enjin pembakaran dalaman penuh dan juga hibrid. “Kami masih akan mempunyai kenderaan elektrik bateri pertama dalam dekad ini, dalam tempoh lima tahun akan datang, tetapi bukannya cuba mendapatkan seberapa banyak yang kami boleh dalam tempoh lima tahun akan datang, ia hanya satu,” kata Hallmark.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.