Sekarang nampaknya makin banyak pengeluar yang mahu masuk ke pasaran mewah, mungkin kerana persaingan di kelas bawah semakin mencabar, ditambah pula dengan perang harga. Turut tidak ketinggalan adalah Great Wall Motor (GWM), seperti yang dilaporkan oleh Car News China (CNC).
Dalam laman itu tertulis bahawa jenama mewah baru GWM ini akan dipanggil sebagai Confidence Auto, dan ia akan diletakkan atas daripada jenama Haval, Wey, Tank dan Ora, untuk bersaing secara terus dengan Yangwang oleh BYD. Jenama baru ini dikatakan sudah didaftar sejak tahun 2022 lagi, dan misi utamanya adalah untuk mengeluarkan “produk siling untuk industri automotif.”
Dengan produk yang terletak dalam kelas atasan, harganya juga adalah tinggi dengan dilaporkan berada atas daripada RMB1 juta (RM614k), dan terdiri daripada supercar dan sedan yang dikeluarkan dalam jumlah kecil. Model plug-in hybrid (PHEV) dijangka menggunakan enjin V8 4.0 liter turbo GWM, dan produk pertama jenama ini dijangka boleh muncl seawal bulan April atau Mei ini, sebelum dijual pada suku keempat.
Laporan CNC juga menyatakan ini bukan kali pertama GWM cuba mencipta jenama mewah – pada Disember tahun 2021 mereka pernah mengumumkan Saloon Auto dan memperkenalkan model pertama jenama itu, Mecha Dragon dengan harga RMB488,000 (RM300k).
Walaubagaimanapun, pengeluaran Mecha Dragon kerap tertangguh dan seterusnya terhenti. Selain itu, pada tahun 2022 GWM juga pernah mengumumkan strategi pemasaran gabungan dua jenama iaitu Ora + Saloon dan Wey + Tank.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.