Sempena dengan perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada 11 Februari 2025, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bakal memberikan tambang percuma kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang selama dua hari iaitu pada 10 hingga 11 Februari ini.
Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berkata tambang percuma itu akan dikenakan semasa penumpang membuat imbasan masuk dan keluar di pintu automatik (ACG) stesen destinasi dalam tempoh berkenaan.
“Penumpang perlu mengakses pintu masuk dan keluar (ACG) untuk menikmati tambang tren KTM Komuter secara percuma menggunakan mod pembayaran tanpa tunai melalui KTMB Mobile, kad kad Komuter Link, kad Touch ‘N Go, kad MyDebit, kad kredit, tiket QR fizikal yang diperoleh dari kaunter tiket, percuma untuk tarik 10-11 Feb.
“Selain itu, penumpang warga emas, OKU dan kanak-kanak berumur 2 hingga 6 tahun diberi diskaun khas 50%, manakala kanak-kanak di bawah 2 tahun tidak dikenakan tambang. Ini untuk waktu tarikh biasa, yang bukan tertakluk pada dua hari yang kita bagi tambang percuma,” katanya dalam sidang media sempena pengumuman perkhidmatan tren tambahan KTM Komuter tanpa henti sempena Thaipusam 2025.
Tambah beliau, pihaknya turut menjangkakan seramai 500,000 pengguna akan memanfaatkan perkhidmatan komuter di Lembah Klang sepanjang tempoh empat hari tersebut, mencatatkan peningkatan 10% lebih tinggi berhanding tahun sebelum ini, dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Hari Thaipusam pada 11 Februari dan pada tarikh yang diberikan tambang percuma.
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan beroperasi 24 jam tanpa henti selama empat hari 3 malam bermula 9 hingga 12 Februari 2025.
“Inisiatif ini diambil bagi memenuhi keperluan permintaan penumpang khususnya penganut agama Hindu, pelancong serta orang awam yang ingin menyaksikan keunikan sambutan perayaan Thaipusam di Batu caves. Bagi memastikan keselesaan kemudahan pengguna, laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang akan beroperasi mengikut jadual perjalanan penuh sepanjang sambutan ini.
“Perubahan jadual sementara ini adalah berbeza dari jadual semasa yang beroperasiterhad kepada enam trip [ada waktu puncak pagi dan petang disebabkan kerja-kerja naik taraf KVDT2 (Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2),” jelasnya lagi.
Menurut beliau, sebanyak 33 perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Batu Caves–Pulau Sebang–Batu Caves dan 45 perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves–Pelabuhan Klang–Batu Caves, 28 perkhidmatan tambahan untuk laluan KL Sentral-Batu Caves-KL Sentral, enam perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves-Bangi-Batu Caves dan masing-masing tiga perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves-Sentul-Batu Caves dan Batu-Caves-Subang Jaya-Batu Caves.
“Kebiasaan hanya 96 trip sehari yang disediakan untuk penumpang Komuter, walau bagaimana pun, sambutan Thaipusam pada tahun ini, KTMB akan menyediakan 44 perkhidmatan tambahan sehari, menjadikan sejumlah 140 trip sehari bagi menampung permintaan yang tinggi khususnya pada hari kemuncak sambutan ini. Untuk makluman, jumlah tren tambahan yg disediakan sepanjang empat hari tiga malam ini adalah sebanyak 494 trip bagi tempoh ini.
“Perkhidmatan tren tambahan ini akan bermula selepas tren terakhir pada setiap hari, dengan waktu perkhidmatan seawal 9.55 malam bagi laluan Pulau Sebang ke Batu Caves dan seawal jam 9.30 malam bagi laluan Pelabuhan Klang ke Batu Caves. Bagi pengguna dari KL Sentral, perkhidmatan tren tambahan ini akan diselang di antara perkhidmatan sedia ada bermula jam 11 pagi, menjadikan kekerapan lebih baik iaitu setiap 30 minit berbanding satu jam pada hari biasa,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.