Sejak X70 tiba di pasaran tempatan pada 2018, semua model yang diperkenalkan oleh Proton adalah model Geely. Apa perancangan atau lanjutan perjalanan berkaitan model asal atau yang sedia ada keluaran Proton sendiri? Adakah kita akan dapat melihat sebuah model baru yang dibangunkan oleh Proton, yang bukan diambil dari Geely?
Mungkin itu yang memacu rasa Theophilus Chin untuk memberi perhatian semula kepada model asal Proton untuk dibayangkan semula — dalam kes ini, Proton Satria tiga pintu.
Ada iras Volkswagen Polo Mk6 yang kelihatan? Memang betul rekaan ini disandarkan kepada model terbabit, sama seperti rekaan digital Proton eMas 3 yang dibuat oleh Theo. Kali ini, persamaan dengan Polo itu lebih ketara kerana ia hanya datang dengan tiga pintu untuk rekaan kompak ini. Kedudukannya juga lebih rendah, dengan jarak tayar dari lengkungannya juga makin rapat.
Jika imej rendering bagi eMas 3 mengambil banyak rekaan dari eMas 7, seperti dapat dilihat untuk bahagian lampu utama, bampar depan dan lampu belakang jalur bersambung, rekaan Satria ini sebaliknya diberikan lampu utama bentuk lain, bampar depan yang lebih sporty dan lampu belakang terpisah. Rekaan depan pula ditampilkan lebih ringkas dan nampak kosong. Keseluruhannya, imej digital Satria ini nampak menarik juga.
Bagaimanapun, rekaan Satria ini mungkin hanya tinggal mimpi, dan yang akan diperkenalkan nanti adalah eMas 3, yang mana Proton telah memfailkan trademark di bawah (MyIPO).
eMas 5 yang telah disahkan akan tiba tahun ini oleh Proton merupakan model yang lebih besar, yang akan bersaing dengan Perodua EV dan BYD Dolphin. Untuk itu, jika eMas 3 menjadi realiti pada masa hadapan kelak, ia kemungkinan besar adalah model dalam segmen A, dengan saiz hampir sama dengan BYD Seagull.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.