Mahu atau tidak, kita perlu mengakui bahawa banyak kereta import terpakai atau dibaik pulih (recond) berada di atas jalan raya di Malaysia. Tapi sebenarnya, berapa banyak yang terjual setiap tahun? Adakah ia memberi kesan besar kepada penjual dan pengimport rasmi?
Untuk mengetahuinya, kami membandingkan data jumlah jualan tahun 2024 yang dihantar oleh syarikat kenderaan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dengan data pendaftaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jumlah daripada JPJ pastinya adalah lebih tinggi, kerana ia merangkumi semua pendaftaran termasuk kereta recond.
Seperti yang boleh dijangka ramai, Toyota mencatat jualan kenderaan recond paling banyak di Malaysia. Hampir separuh adalah kereta recond, iaitu sebanyak 26,501 unit, dengan terdiri daripada model seperti Alphard, Vellfire, Harrier, Noah, Voxy dan yang berlencana GR. UMW Toyota sebagai pengedar rasmi menjual 100,701 buah kenderaan, bermakna hampir 21% kenderaan Toyota yang terjual adalah datang dari luar rangkaian pengedar rasmi.
Lebih mengejutkan, hampir 75% daripada 6,431 unit kenderaan Lexus yang didaftarkan tahun lepas adalah kereta recond, berkemungkinan daripada model NX atau RX. Bagi memberi gambaran, hanya satu daripada empat Lexus yang diserahkan kepada pelanggan pada tahun 2024 datang daripada pengedar rasmi Lexus Malaysia.
Seperti yang boleh dilihat pada data ini, Mercedes-Benz juga tidak ketinggalan banyak dengan 4,773 buah kenderaan recond terjual tahun lepas, daripada jumlah pendaftaran keseluruhan 11,887 unit. Boleh dibayangkan juga, lebih 40% pembeli kenderaan mewah ini mendapatkan kenderaan mereka tanpa jaminan rasmi daripada pengeluar.
Data untuk seteru jenama ini, iaitu BMW bagaimanapun tidak kelihatan. Malah, BMW Group Malaysia menghantar jumlah jualan yang lebih tinggi kepada MAA berbanding pendaftaran yang tertulis dalam data JPJ. Ini tidak mungkin berlaku melainkan syarikat itu berjaya menjual kenderaan mereka tanpa didaftar, sementara pemerhatian kami dalam laman jualan kenderaan masih mendapati ada kereta recond yang termasuk dalam senarai.
Nissan adalah satu lagi jenama yang mencatat jumlah dalam MAA yang lebih tinggi berbanding pendaftaran JPJ. Melihatkan banyak GT-R atas jalan raya, jumlah ini adalah diragui. Sebelum ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) pernah membuat tuduhan ada jenama yang mengeluarkan jumlah tidak tepat kepada MAA.
Di bawah Mercedes adalah Honda, dengan 3,574 unit kenderaan recond terjual tahun lepas, bersamaan 4.2% daripada keseluruhan 85,273 buah yang didaftar. Antara penyumbangnya mungkin adalah Civic Type R, dan juga model seperti StepWGN dan N-Box.
Tidak mengejutkan, Porsche berada di tempat kelima dengan 1,401 buah kenderaan recond terjual tahun lepas, iaitu lebih separuh daripada jumlah kesel 2,704 unit. Model popular antaranya adalah Macan, dan mungkin juga Taycan bagi mengambil manfaat daripada pengecualian cukai yang diberi untuk kenderaan elektrik import penuh (CBU).
Jika datang daripada Jepun, harganya pasti adalah lebih murah, tetapi menggunakan soket pengecas AC Type 1 dan DC CHAdeMO, yang memerlukan adapter untuk dipadankan dengan kebanyakan pengecas AC Type 2 dan DC CCS2 yang berada di Malaysia. Ia juga tidak datang dengan jaminan bateri lapan tahun oleh pengedar rasmi Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP).
Peratusan paling tinggi dicatat oleh Land Rover, iaitu sebanyak 93% kenderaan recon terjual daripada jumlah keseluruhan 1,024 unit yang didaftar pada tahun 2024. Ini tidak mengejutkan apabila melihat betapa tingginya harga Range Rover dan Range Rover Sport baru di pasaran sekarang, yang semuanya berada atas RM1.5 juta.
Satu lagi jenama yang mencatat jualan kenderaan recond lebih banyak berbanding saluran rasmi adalah Suzuki. Daripada 1,504 unit kenderaan jenama itu yang didaftar tahun lepas, 824 daripadanya adalah kenderaan recond, dan ini mungkin datang daripada model seperti Swift Sport dan Jimny. Rasanya kita tidak pelik, kerana lihatlah sendiri berapa harga model ini dalam keadaan baru daripada Naza Eastern Motors (NEM).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.