Ford kini meluaskan lagi kehadirannya di Borneo dengan penambahan kemudahan servis di Kapit dan Mukah, serta naik taraf bagi bilik pameran Ngu Brothers di Sibu, Sarawak. Ini menjadi pelengkap bagi rangkaian 11 pengedarnya di Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, rangkaian pengedar Ford di Sarawak berada di beberapa lokasi seperti Kuching (SDAC), Sibu (Ngu Brothers), Miri (ALV Brothers), Bintulu (Ngu Brothers), Kota Samarahan (Jimisar Motors) dan disertai oleh dua pusat servis di Kapit dan Mukah tersebut. Di Sabah pula, pengedar Ford berada di Kota Kinabalu (Boston Auto dan Rightpower Corporation), Sandakan (Boston Auto) dan Tawau (TB Automotive).
Ford menjanjikan stok alat ganti yang sentiasa tersedia yang diberikan jaminan Ford dan menepati piawaian global. Dengan penambahan lokasi servis ini, pelanggan Ford yang tinggal di kawasan bandar atau di luar bandar kini boleh mendapatkan akses lebih mudah terhadap kemudahan servis kenderaan mereka.
Bilik pameran di Sibu yang diuruskan oleh Ngu Brothers terletak atas kawasan seluas 6,135 kaki persegi dan turut menyediakan ruang menunggu serta kawasan pameran kenderaan, dengan pengalaman dan kemudahan baru menggunakan identiti korporat Ford yang standard.
“Lokasi pengedar yang strategik serta servis yang ditawarkan ini merupakan cara memperkukuhkan komitmen kami kepada pemilik kenderaan Ford di bahagian terlibat di Sabah dan Sarawak. Ini bagi memastikan mereka menerima layanan mesra dan selesa, berkualiti serta boleh dipercayai yang kami tawarkan. Dan, ini tidak pula hanya terhad kepada kawasan bandar utama sahaja, sebaliknya meluas ke bahagian lain seperti Kapit dan Mukah, untuk memenuhi semua keperluan pelanggan kami,” ujar Pengarah Urusan SDAC, Turse Zuhair.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.