Mitsubishi Motors menurunkan jangkaan keuntungan bersih tahunannya untuk tahun kewangan berakhir Mac 2025 dengan hanya mensasarkan nilai 35 bilion yen (RM1.012 bilion), atau 76% lebih rendah berbanding jangkaan 144 bilion yen (RM4.16 bilion) yang dibuat pada Mei tahun lalu, lapor Nikkei Asia.
Ini adalah berikutan beberapa faktor yang terjadi seperti kos pemasaran yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk pasaran kompetitif seperti Amerika Utara, pembekal-pembekal sokongan yang terjejas akibat inflasi, dan yang paling utama jualan lembab untuk pasaran terbesar Mitsubishi dengan iaitu di rantau Asia Tenggara yang lazimnya mewakili 30% dari jumlah jualan global keseluruhan jenama dari Jepun itu.
Jualan Mitsubishi di Filipina dan Vietnam masih lagi kuat, namun permintaan menjunam untuk dua pasaran utama ASEAN iaitu Thailand dan Indonesia. “Sebelum ini permintaan di Thailand mencecah satu juta unit kenderaan,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors Takao Kato.
Beliau menjelaskan permintaan kenderaan dari kedua-dua negara itu mula menurun ketika pandemik Covid-19 dan ia terus menjunam pada 2023 dan 2024 kerana beban hutang isi rumah yang semakin tinggi. “Permintaan kereta baharu mengambil masa untuk kembali normal kerana keadaan teruk dengan hutang isi rumah akan berterusan tahun ini,” katanya.
Oleh itu Mitsubishi menurunkan sasaran jualan globalnya kepada 848,000 unit daripada unjuran sebelumnya sebanyak 895,000, dengan sasaran untuk Asia Tenggara diturunkan kepada 249,000 unit daripada 277,000 unit. Walau bagaimanapun sasaran berkenaan masih lebih tinggi dari jumlah jualan tahun kewangan sebelumnya iaitu 815,000 unit.
Manakala keuntungan bersih pula dijangka akan turun sebanyak 77% berbanding tahun sebelumnya, disebabkan pendapatan operasi yang lebih rendah berjumlah 125 bilion yen dan jualan sebanyak 2,76 trilion yen, masing-masing turun 35% dan 1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Selain itu Kato turut menyatakan Thailand adalah negara utama buat Mitsubishi bukan sahaja sebagai pangkalan pasaran, malah merupakan hab eksport, namun negara itu juga menjadi tempat di mana ia menghadapi pengukuhan mata wang tempatan yang “tidak dijangka”.
“Kenaikan mendadak baht telah memberi kesan negatif yang ketara ke atas keuntungan kami,” kata Kato. Beliau juga berkata bahawa anak syarikat tempatan di Thailand telah memulakan pembaharuan struktur, termasuk memberhentikan 300 orang pekerja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.