Penggabungan antara dua jenama utama automotif Jepun iaitu Honda dan Nissan nampaknya bukanlah sesuatu yang mudah – kedua-dua pihak sebelum ini sepatutnya sudahpun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penggabungan berkenaan pada akhir bulan lalu, namun ia kemudiannya ditunda pada pertengahan bulan ini.
Khabar baharu yang bertiup dari Jepun membayangkan perbincangan ini mungkin akan dihentikan oleh Nissan, menurut Reuters yang memetik laporan dari akhbar Nikkei. Susulan berita tersebut saham Nissan telah jatuh 4% sebelum dagangan dihentikan oleh Bursa Saham Tokyo, manakala saham Honda pula naik lebih 8% menandakan pelabur lega kerana rundingan tersebut tidak diteruskan.
Walau bagaimanapun jurucakap Nissan menyatakan bahawa laporan Nikkei itu “bukan berdasarkan informasi yang diumumkan oleh Nissan”, dan menambah keputusan muktamad berkenaan halatuju penggabungan tersebut hanya akan diumum pada pertengahan bulan ini.
Manakala jurucakap Honda pula menyatakan bahawa pihaknya masih belum mendengar apa-apa berkenaan keputusan Nissan untuk membatalkan MoU yang dirancang bagi ditandatangani tersebut.
Desas-desus berkenaan penggabungan jenama automotif nombor dua (Honda) dan ketiga (Nissan) terbesar di Jepun ini bermula akhir tahun lalu selepas Nissan yang kini dalam krisis kewangan dilaporkan hanya boleh bertahan sekitar 12 hingga 14 bulan sahaja lagi sekiranya tidak mempunyai pelabur yang stabil.
Bagi Honda pula penggabungan yang bakal mewujudkan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia tersebut dapat memperkukuhkan kedudukannya bagi menghadapi saingan sengit dari pengeluar kenderaan elektrik dari China iaitu BYD.
Walau bagaimanapun perbincangan berkenaan menjadi sukar kerana perbezaan pandangan dari kedua-dua pihak, menurut dua individu yang berkaitan dengan perkara ini tetapi enggan dikenali kerana tidak mempunyai kuasa untuk bercakap kepada pihak media, lapor Reuters.
Salah seorang sumber itu menyatakan bahawa Honda telah menawarkan Nissan untuk menjadi anak syarikatnya, dan ini telah mengalihkan halatuju sebenar perbincangan untuk menggabungkan kedua-dua syarikat tersebut secara sama rata.
“Berita yang mengatakan bahawa Nissan tidak mahu menjadi anak syarikat Honda nampaknya menyerlahkan bahawa kuasa untuk mengawal adalah isu yang dipertikaikan,” kata Christopher Richter, penganalisis kanan automotif Jepun di broker CLSA dalam laporan ini.
Beliau turut menambah bahawa sekiranya Honda tidak dapat memperolehi kuasa kawalan tersebut ia mungkin tidak akan bersetuju dengan penggabungan berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.