Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Selangor kini telah mencapai 78.5% status kemajuan setakat Januari 2025.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang berkata tahap kemajuan yang meyakinkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026, laporan Bernama .
Amir Hamzah berkata, jajaran fasa kedua antara Gombak ke Pelabuhan Selangor, Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028, berdasarkan perkembangan projek berkenaan.
“Alhamdulillah, projek ini (ECRL) bukan projek kecil tetapi projek yang besar dengan mengambil kira kerjasama. Oleh itu, saya ucapkan tahniah kepada MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) CCC-ECRL (China Communications Construction Sdn Bhd) kerana dapat berganding bahu untuk menjayakan kemajuan projek ini.
“Insya-Allah projek ECRL ini akan siap pada hujung tahun depan (2026) dan boleh beroperasi pada 2027. Tetapi yang lebih penting ialah projek ini ialah untuk membuka ekonomi di Pantai Timur untuk menarik lebih banyak pelaburan,” katanya selepas melancarkan Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 semalam.
Dibina oleh China Communications Construction ECRL (CCCCECRL), projek ECRL yang bernilai RM50.27 bilion dengan jajaran sepanjang 665 km itu akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor di Pantai Barat. Laluan Terminal Kota Bharu-Gombak yang melibatkan perjalanan selama empat jam, dijangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.
CRRC Dalian telah memperuntukkan 11 unit tren berbilang elektrik (IMU) enam gerabak, dengan unit pertama dijangka tiba menjelang akhir 2025. Tren ini boleh membawa 430 penumpang dan mencecah kelajuan hingga 160 km/j. Ia juga akan menyediakan dua lokomotif elektrik yang akan dipasang di depoh Bandar Pelabuhan Kuantan untuk menarik kereta api barangan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.