Sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun, Yamaha 135LC Fi sekali lagi diberikan pembaharuan warna dengan kali ini melibatkan empat warna iaitu Aqua Blue, Sandstorm dan Moss Green untuk versi Standard, dan Red Titan untuk versi SE.
Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk kapcai ini adalah RM8,298 tidak termasuk insurans, dan masih sama seperti kali terakhir ia diberikan pembaharuan warna iaitu pada Oktober 2023. Bagi semua warna baru ini, ia menggunakan rim yang berwarna hitam.
Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama seperti waktu ia dilancarkan dahulu, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder 135 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm.
Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian menggunakan tetapan cakera, dengan angkup satu piston masing-masing di hadapan dan belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Hanya pemula elektrik sahaja yang disediakan pada motosikal ini, dan tiada penendang kaki.
Pada bahagian meter, ia menggunakan unit digital LCD seperti Y16ZR. Berat keseluruhan 135LC Fi adalah 109 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 4.6 liter serta rim bersaiz 17 inci, dengan tayar saiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Boleh tegok Keta aru