Presiden dan CEO Nissan Motor Makoto Uchida dilaporkan telah pun berjumpa dengan Presiden dan CEO Honda Motor hari ini bagi memberitahu pembatalan rundingan untuk bergabung selepas Honda menyatakan bahawa mereka mahu Nissan hanya menjadi anak syarikatnya. Perkara ini diberitahu oleh sumber yang rapat dengan perkembangan isu berkenaan kepada agensi berita Reuters.
Desas-desus berkenaan penggabungan jenama automotif nombor dua (Honda) dan ketiga (Nissan) terbesar di Jepun ini bermula akhir tahun lalu selepas Nissan yang kini dalam krisis kewangan dilaporkan hanya boleh bertahan sekitar 12 hingga 14 bulan sahaja lagi sekiranya tidak mempunyai pelabur yang stabil.
Nissan dan Honda secara rasmi mula berunding untuk bergabung pada Disember tahun lalu, yang bakal mewujudkan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia dengan penghasilan sejumlah 7.4 juta kenderaan setahun.
Dalam rundingan tersebut kedua-duanya mensasarkan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penggabungan berkenaan pada akhir bulan lalu, kemudian memuktamadkan rundingan ini sekitar Jun 2025 sebelum membentuk syarikat induk pada Ogos 2026, apabila saham kedua-dua syarikat telah digugurkan dari bursa.
Namun majlis untuk menandatangani MoU berkenaan telah ditunda dan dijadualkan akan berlangsung pada pertengahan bulan ini. Dan semalam dilaporkan Nissan bakal menarik diri dari rundingan berkenaan kerana Honda telah menawarkan Nissan untuk menjadi anak syarikatnya, dan ini telah mengalihkan halatuju sebenar perbincangan untuk menggabungkan kedua-dua syarikat tersebut secara sama rata.
“Konsensus telah dicapai (di pihak Nissan) bahawa perbincangan tidak boleh diteruskan di bawah cadangan itu,” kata sumber yang mengetahui perbincangan berkenaan, tetapi enggan dikenali kerana maklumat itu bukan untuk pengetahuan umum.
Tambah sumber itu lagi keputusan untuk menarik diri dari menandatangani MoU tersebut akan dibuat secara rasmi dalam pengumuman prestasi suku ketiga Nissan yang akan dibuat pada minggu hadapan.
Laporan Reuters hari ini yang memetik sumber dari NHK pula menyatakan bahawa pendirian Honda buat masa sekarang bahawa ia tidak akan menerima penggabungan ini sekiranya Nissan tidak bersetuju untuk menjadi anak syarikatnya.
Dengan perkembangan terbaharu ini, masa hadapan Nissan dilihat diragui. Buat masa sekarang syarikat tersebut dilihat sedang membuat penstrukturan semula operasinya termasuk dengan pengumuman untuk membuang 9,000 pekerja dan mengurangkan 20% kapasiti globalnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.