Seorang mekanik berusia 61 tahun ditahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak selepas dia didapati menunggang motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan selama 23 tahun iaitu sejak 2002. Lelaki itu ditahan untuk disoal siasat dan motosikalnya disita semasa pemeriksaan rutin sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan Tahun Baharu Cina di sepanjang Jalan Silibin-Ipoh, laporan The Star.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik motosikal kerana melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mewajibkan semua kenderaan bermotor di jalan raya wajib mempunyai lesen kenderaan bermotor (LKM) yang sah.
“Kesalahan ini serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan telah didaftarkan tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperuntukan dan memenuhi syarat keselamatan kenderaan, ” kata Ketua JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan.
Mohammad Yusoff berkata mekanik itu mendakwa dia hanya menunggang motosikalnya di dalam kawasan perumahan dan bukannya di jalan utama. Tambahnya, kenderaan yang tidak mempunyai LKM yang sah berisiko tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan yang boleh mendatangkan masalah kepada mangsa dan pemilik kenderaan.
“Kesalahan tidak memperbaharui LKM boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.