Tidak mahu ketinggalan dalam peralihan ke arah elektrifikasi, Suzuki memperkenalkan sebuah skuter elektrik yang dipanggil sebagai e-Address. Reka bentuknya masih mengikut konsep asal Address yang sudah dikenali ramai, tetapi diterapkan dengan ciri moden seperti lampu LED, termasuk untuk lampu hadapan, belakang dan penunjuk arah.
Spesifikasi motor elektriknya tidak didedah, tetapi ia diberitahu menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 51.2 V/60 Ah yang melekat pada badannya (tidak boleh dibawa keluar) dan mampu menghasilkan kuasa 4.1 kW (5.5 hp) dan tork 15 Nm.
Apabila mempunyai cas penuh (boleh dicapai dalam masa 6.7 jam menggunakan pengecas rumah single-phase AC 200-240 V yang diberi sekali), skuter ini boleh mencatat jarak gerak sehingga 87 km dan ia dibantu dengan sistem penjanaan semula kuasa brek. Turut disediakan adalah mod undur.
Untuk menyesuaikan karekter skuter dengan penggunaan, penunggang disediakan dengan tiga mod iaitu Eco yang lebih memberi perhatian kepada penjimatan dan jarak gerak, mod A dengan tetapan penjanaan semula kuasa brek yang lebih tinggi tanpa mengabaikan kuasa dan mod B dengan tetapan penjanaan semula kuasa brek yang lebih rendah, menghasilkan rasa seperti skuter enjin pembakaran dalaman biasa.
Sebagai skuter generasi baru, e-Address ini juga datang dengan kelengkapan berteknologi seperti sistem kunci pintar, soket pengecas USB, amaran halaju serta skrin TFT LCD 4.1 inci yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi (petunjuk arah).
Kemudahan lain yang disediakan untuk pengguna adalah seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 17 liter, poket barangan di bawah pemegang, cangkuk untuk menggantung barang, brek parkir (melalui tuil di sebelah kiri pemegang) dan Combine Brake System.
Rim yang digunakan adalah bersaiz 12 inci, dengan tayar 90/90 di hadapan dan 100/80 di belakang, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik dan satu penyerap hentak di belakang. Brek hanya menggunakan unit cakera di hadapan sementara di belakang adalah dram. Berat keseluruhan e-Address adalah 122 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.