Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 298 saman di Selangor atas beberapa kesalahan sepanjang pelaksanaan Op Penyamaran bermula 20 Januari hingga 5 Februari 2025 sempena Tahun Baharu Cina. Menerusi operasi ini, JPJ menggunakan kenderaan tidak berlogo dan tidak mengenakan pakaian seragam semasa melakukan penyamaran.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, 127 kes membabitkan tidak mematuhi lampu isyarat yang menjadi kesalahan tertinggi direkodkan daripada keseluruhan 298 kes sepanjang tempoh berkenaan, laporan Bernama.
Beliau berkata, kesalahan itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 72(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM300 sehingga RM2,000. Manakala kesalahan berjadual lain yang direkodkan adalah memandu di lorong kecemasan (66), memandu di lorong kanan secara berterusan (39), tidak memakai topi keledar (35), menggunakan telefon bimbit (21), tiada lesen memandu dan insurans (10).
“Kegagalan mematuhi lampu isyarat boleh didakwa mengikut Seksyen 72 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM300 hingga RM2,000. Apabila kenderaan dikesan melakukan kesalahan, kami akan menghentikannya untuk pemeriksaan dan mengeluarkan notis kompaun,” kata Ahmad Kamarunzaman.
Dalam operasi khas berkenaan, Ahmad Kamarunzaman berkata, pihaknya memfokuskan objektif strategik penguatkuasaan iaitu memantau kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam selain kesalahan berjadual.
“Tujuan operasi ini juga bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian. Maka kita tidak akan berkompromi dengan pengguna yang dikesan melakukan tujuh kesalahan berjadual ini,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.