Dalam majlis makan malam bersama pihak media semalam, Perodua telah mengumumkan satu lagi sejarah kegemilangannya apabila berjaya menduduki tangga kedua bagi jualan kenderaan penumpang di Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun lalu. Dengan jualan sebanyak 385,000 unit kenderaan pada tahun lalu, Perodua kini berada di belakang Toyota yang masih merajai carta jualan.
Toyota berjaya menjual sebanyak 714,000 unit kenderaan penumpang pada tahun lalu, agak menyusut sebanyak 38,000 unit berbanding rekod yang dicatatkan pada tahun 2023 iaitu sekitar 752,000 unit. Manakala Perodua pula mengalami kenaikan rekod jualan sebanyak 55,000 unit pada tahun lalu berbanding 330,000 unit yang terjual pada 2023.
Dengan jumlah jualan kenderaan penumpang yang direkodkan oleh Perodua ini, sekaligus telah memintas kedudukan Honda yang pada tahun sebelum ini berada di tangga kedua. Honda kini berada di tangga ketiga selepas berjaya menjual sekitar 303,000 unit kenderaan pada tahun lalu berbanding 315,000 unit pada tahun 2023.
Mitsubishi pula berada di tangga ke-empat dengan jualan sebanyak 200,000 unit, meningkat 11,000 unit berbanding 189,000 unit pada tahun 2023 dan jenama ini masih kekal di kedudukan yang sama buat dua tahun berturut-turut. Di belakang Mitsubishi pula, diduduki oleh Proton yang berada di tangga kelima dengan jualan sebanyak 148,000 unit, menyusut sekitar 3,000 unit berbanding pada tahun 2023 dengan 151,000 unit.
Lima jenama lain yang turut berada dalam carta Top 10 bagi jualan tertinggi kenderaan penumpang di ASEAN pada tahun lalu ialah Daihatsu (107k), Suzuki (66k), Mazda (64k), BYD Auto (52k) dan Ford (45k). Manakala Hyundai yang berada pada carta yang sama untuk tahun 2023 nampak gayanya kurang bernasib baik untuk 2024 kerana kedudukannya tersingkir. Manakala BYD Auto pula berjaya memasuki carta 2024 dan ternyata model kenderaan elektrik (EV) kian mendapat sambutan mengalakkan di pasaran ASEAN.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.