Bagi yang belum mengetahui, model EV pertama Proton iaitu eMas 7 yang dilancarkan Disember lalu sebenarnya masih lagi diproduksi di kilang Geely di China, dan ia kini dijual dalam versi diimport sepenuhnya (CBU). Dan nampaknya tak lama model tersebut dan juga model-model EV Proton yang lain bakal di buat secara pemasangan tempatan kerana hari ini secara rasmi Proton telah memulakan kerja-kerja pembinaan kilang EVnya yang terletak fasiliti utama mereka iaitu di Tanjong Malim, Perak.
Upacara pecah tanah bagi kilang EV berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, serta ahli-ahli kerajaan negeri dan exco. Manakala Proton diwakili oleh ahli Lembaga pengarahnya, Ahmad Jauhari Yahya, CEO Dr Li Chunrong, serta timbalan CEO Roslan Abdullah.
Kilang ini dibina dengan pelaburan RM82 juta dengan fasa pertama barisan pemasangan EV tersebut disasarkan siap pada akhir 2025 – didakwa sebagai kilang khusus untuk EV pertama di Malaysia – dengan keluasan 9,200 meter persegi dan boleh beroperasi dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun. Manakala bagi Fasa Kedua, kilang ini akan dikembangkan lagi kepada 14,400 meter persegi dengan kemampuan menghasilkan 45,000 unit kenderaan setahun.
Barisan pemasangan kilang ini dihasilkan bagi membolehkan ia memasang model-model berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA), bermula dengan eMas 7. Jadi selepas ini ia bukan hanya memasang model EV kerana platform GMA turut akan menampilkan model dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV). Dan dengan jumlah penghasilan tersebut, kilang ini juga turut akan menghasilkan model-model janaan tenaga baharu (NEV) Proton untuk pasaran tempatan dan eksport.
Menurut Proton, operasi pemasangan EV menjelang akhir 2025 ini akan bermula sejurus semua sebelum semua operasi pembuatan Proton dipindahkan sepenuhnya di Tanjung Malim dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), menandakan pencapaian penting bagi AHTV itu sendiri.
Kilang ini juga akan beroperasi dengan pelbagai teknologi pembuatan pintar digunakan untuk memastikan produk berkualiti tinggi dihasilkan dengan kecekapan maksimum serta impak minimum kepada alam sekitar, namum tetap dijangka akan mewujudkan lebih 200 pekerjaan baru dalam industri EV untuk komuniti tempatan, dan ia belum termasuk kesan kepada vendor AHTV apabila mereka meningkatkan operasi untuk membekalkan bahagian-bahagian penting bagi pemasangan.
“Proton memulakan peralihannya untuk menjadi OEM yang menawarkan model ICE dan EV apabila kami menubuhkan PRO-NET untuk menjual kenderaan pintar sebelum melancarkan Proton e.MAS 7. Dengan pengalaman yang kami kumpul sejak beberapa tahun lalu dalam semua aspek kenderaan ini dan keperluan pelanggan, jadi hari ini kami mengambil langkah seterusnya untuk merealisasikan impian kami menghasilkan dan membangunkan model EV di Malaysia,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.
“Kenderaan yang dikeluarkan di kilang baru ini akan memenuhi keperluan pelanggan di pasaran tempatan dan eksport, serta menjadi pendorong kepada pertumbuhan pasaran EV. Setelah siap, pengeluaran di kilang baru ini akan tertumpu pada Proton e.MAS 7 serta tawaran NEV masa hadapan apabila Proton mengembangkan rangkaian modelnya. Akhirnya, kami berharap kejayaan kami akan mewujudkan ekosistem automotif yang moden dan berkemampuan untuk menggalakkan lebih banyak OEM mempertimbangkan Malaysia dan AHTV sebagai pangkalan serantau bagi EV,” tambahnya.
Sebelum ini Proton telah mengesahkan bahawa satu lagi model berasaskan platform GMA akan dilancarkan tahun ini, sama ada eMas 3 atau eMas 5. Ada juga kemungkinan versi PHEV untuk eMas 7 akan dilancarkan – kembarnya di China sudah diperkenalkan dengan nama Geely Galaxy Starship 7, dan Proton turut telah mendaftarkan cap dagangan nama eMas 7 PHEV berkenaan di Malaysia.
Untuk pasaran eksport, Proton sebelum ini sudah mengsahkan bahawa eMas 7 turut akan dilancarkan ke Mauritius, Nepal, Singapura dan Trinidad and Tobago, dan mungkin juga Brunei. Kilang baharu ini mungkin tidak akan memproduksi kembarnya iaitu Geely EX5 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) untuk pasaran ASEAN, kerana Geely bakal membuka kilang untuk menghasilkan model berkenaan di Bekasi, Indonesia bermula suku kedua tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.