Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau mendapat hadiah sebuah kenderaan elektrik (EV) jenama TOGG dari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. EV TOGG keluaran Turkiye itu diterimanya baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara, laporan Harian Metro.
“Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” kata Anwar yang sempat menggunakan kenderaan berkenaan sewaktu meninjau persiapan menyambut kehadiran Presiden Turkiye itu sempena lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari.
“Semalam, saya kebetulan cuba EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye…beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi tadi.
Walau bagaimana pun, Anwar tidak perincikan model TOGG yang dihadiahi oleh Erogan itu. Tahun lalu, jenama ini pernah mengkhabarkan bakal melancarkan model kedua mereka iaitu sebuah sedan fastback, T10F, yang akan dijual bermula 2025. Sedan segmen-C ini berukuran panjang 4,830, lebar 1,881, tinggi 1,560 mm dan jarak roda 2,890 mm.
Varian asas T10F dipacu oleh motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 350 Nm, yang terletak di belakang, sementara varian lebih berkuasa datang dengan pacuan semua roda serta motor elektrik tambahan di hadapan, menghasilkan kuasa keseluruhan 435 PS (429 hp atau 320 kW) dan tork 700 Nm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.