Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia mempunyai peserta baru daripada Proton, iaitu eMas 7, yang dilancarkan 16 Disember lalu dan bulan lepas penghantarannya sudah bermula kepada pelanggan.
Sebagai model baru, permintaan awalnya sudah dijangka mencanak sekaligus menjadi EV paling laris bagi bulan Januari 2025 dengan 421 unit didaftar. Walaupun begitu, ia tidak dapat membawa Proton menjadi jenama paling atas dalam jualan EV, dan diatasi oleh BYD yang mencatat jualan 505 unit.
Menarik untuk kita lihat persaingan dua jenama ini kerana BYD mempunyai lima model EV, sementara Proton hanya satu. Kerancakan sebuah model baru masih ada bagi eMas 7 dan bulan lepas sahaja, hampir 4,000 unit ditempah. “Sasaran kami adalah untuk menyerahkan 1,000 unit menjelang hujung Februari, dan lebih lagi pada bulan Mac untuk memenuhi permintaan,” kata ketua pegawai penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff.
Berada di tempat ketiga adalah BMW dengan catatan 230 unit, meninggalkan jauh seterunya, Mercedes-Benz yang cuma menjual 35 unit EV bulan lepas – hampir sama dengan MINI yang mencatat 34 unit. Satu lagi jenama yang mendapat lonjakan daripada model baru (MPV 009 dan crossover X) adalah Zeekr dengan catatan 101 unit.
Xpeng yang berada di bawah kelolaan Bermaz memulakan tahun ini dengan baik, mencatat pendaftaran 81 unit pada bulan Januari. Setakat ini, hanya SUV G6 sahaja yang dijual, tetapi ia mungkin ditambah lagi dengan MPV X9 tidak lama lagi.
Mengisi kedudukan lain dalam senarai 10 teratas ini adalah MG di tempat keenam (53), GWM ketujuh (43), Porsche kelapan (38) dan Mercedes-Benz kesembilan (35) dan MINI kesepuluh (34). Tesla berada jauh di tempat ke-14 dengan hanya 13 unit didaftar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.