Bagi bulan pertama 2025, Proton eMas 7 muncul sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia. Model EV pertama Proton itu dilancarkan pada Disember tahun lalu dan ditawarkan dalam dua varian dengan harga bermula RM105,800 atas jalan belum termasuk insurans.
Dengan sejumlah 421 unit terjual, EV Proton ini mendahulu model EV lain dalam senarai 20 teratas, yang diikuti oleh BYD Sealion 7 di tempat kedua dengan 151 unit. MPV BYD M6 pula menduduki tangga ketiga dengan 136 unit. Tidak terlalu jauh dibelakangnya adalah Atto 3 dengan jualan sebanyak 104 unit.
Sebuah lagi EV yang berjaya mencapai angka jualan 100 unit ialah BMW i5 yang berada di kedudukan kelima, mengatasi BYD Seal di tempat keenam dengan 95 unit. Xpeng G6 dan Zeekr 009 pula masing-masing menjual 81 unit bagi tempoh berkenaan — Zeekr 009 juga merupakan sebuah lagi EV yang baru saja diperkenalkan pada Disember tahun lalu.
Selepas itu, Ora oleh Great Wall Motor berada ditangga sembilan dengan 43 unit yang terjual — melibatkan model Good Cat dan 07, sementara MG4 EV di kedudukan ke-10 dengan 41 unit. Ada dua lagi model BMW yang tersenarai, iaitu i7 di tangga ke-11 (dengan 38 unit) dan iX2 ke-12 dengan 36 unit.
Leapmotor C10 pula berhasil mencapai angka 30 unit untuk menduduki tempat ke-13, yang diikuti oleh Porsche Taycan dengan 29 unit (data JPJ mengambil kira kereta recon sekali). Selain itu, BMW iX1 berjaya didaftarkan sebanyak 29 unit, dan diikuti oleh smart (model #1 dan #3).
Sebuah lagi EV dari Zeekr, model X mencatatkan pendaftaran sebanyak 21 unit dan menduduki tangga ke-17. BYD Dolphin yang merupakan EV kelima terlaris di Malaysia tahun lalu pula hanya mencatatkan 19 pendaftaran bulan lalu.
Dua kedudukan terakhir pula dihuni oleh Volvo EX30 dengan 18 unit di tangga ke-19, dan diikuti MINI Countryman SE di tangga ke-20 dengan 17 unit didaftarkan. Tesla Model 3 dan Model Y, yang merupakan EV ketiga dan keempat terlaris di Malaysia tahun lalu, tidak tersenarai dalam kedudukan 20 kedudukan teratas bagi Januari — data JPJ menunjukkan Tesla hanya menjual 13 unit sahaja (10 unit Model Y dan tiga unit Model 3).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.