Omoda C9 dilancarkan di Malaysia Disember tahun lepas, dengan enjin petrol 2.0 liter turbo, tetapi sekarang ada yang menemui versi plug-in hybrid bagi SUV tersebut. Gambarnya dimuat naik dalam laman paultan.org Automotive/Car Discussion di Facebook.
Dilihat sedang dicas menggunakan mesin TNB Electron, Omoda C9 PHEV ini, melalui komen di dalam gambar tersebut, dikatakan ditemui di Aeon Kinta City, Ipoh, Perak. Menurut Tenaga Nasional Berhad, pengecas tersebut mampu mengeluarkan kuasa DC 47 kW, sekaligus menunjukkan Omoda C9 PHEV itu boleh menerima sumber DC melalui sambungan CCS2.
Di China, Omoda C9 dijual sebagai Exeed RX dan versi PHEV di sana menggunakan penggerak petrol-elektrik yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, transmisi hibrid khas tiga kelajuan (DHT) dan sehingga dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar – untuk menghasilkan kuasa sehingga 619 PS (610 hp atau 455 kW) dan tork 920 Nm. Menurut pengeluarnya, jarak gerak boleh mencapai 1,300 km mengikut kitaran WLTC.
Dipasarkan di Malaysia di bawah Jaecoo, Omoda C9 ini berkemungkinan menyertai barisan model baru jenama itu yang akan tiba tahun ini, bersama J6 elektrik bateri dan SUV J8 – juga dijual di China sebagai PHEV berkuasa 605 hp/915 Nm.
Di negara kita, Omoda C9 secara rasminya dijual dalam dua varian iaitu 2WD dan 4WD, dengan harga masing-masing RM168,800 dan RM188,800. Enjin petrol 2.0 liter turbo yang digunakan mampu menghasilkan kuasa 261 PS dan tork 400 Nm, disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik torque converter lapan kelajuan.
Sebagai tambahan kepada tiga mod pemanduan yang disediakan pada varian 2WD, varian 4WD pula mendapat suspensi adaptif Continuous Damping Control (CDC) dengan tambahan empat lagi mod. Sistem bantuan aktif diberikan kepada kedua-dua varian, bersama pakej ADAS Level 2.5.
GALERI: Omoda C9 2WD di Malaysia
GALERI: Omoda C9 AWD di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.