PLUS akan uji tol tanpa palang bermula April ini – yang elak bayar mungkin tak boleh perbaharui cukai jalan

PLUS akan uji tol tanpa palang bermula April ini – yang elak bayar mungkin tak boleh perbaharui cukai jalan

PLUS Expressways Bhd (PLUS) bakal melakukan ujian perintis mereka sendiri terhadap sistem tol tanpa palang menggunakan sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang dibangunkan sendiri oleh syarikat konsesi lebuhraya tersebut bermula April nanti, lapor The Edge yang memetik beberapa sumber dalam industri.

Laporan itu menyebut bahawa langkah ini diambil dalam usaha bagi mengelak berlaku salah guna dan eksplotasi keuntungan ketika pelaksanaannya berjalan kelak. Malah ia juga menyatakan bahawa PLUS yang merupakan konsesi lebuhraya terbesar di Malaysia kerana mempunyai kelebihan di mana anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn Bhd merupakan penyedia sistem kutipan tol elektronik bagi kebanyakkan lebuhraya di Malaysia.

Bagi mengelakkan pengguna mengambil kesempatan untuk melalui tol tanpa palang berkenaan tanpa membuat bayaran sepatutnya, PLUS turut sedang berusaha untuk berkerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan menghalang pesalah-pesalah tersebut memperbaharui cukai jalan masing-masing.

“Masih tiada undang-undang yang membolehkan syarikat konsesi menangkap mereka yang tidak membayar tol sebaik sahaja mereka meninggalkan lebuhraya. Objektif untuk bekerjasama dengan JPJ adalah untuk memastikan pengguna jalan raya yang berhutang dengan syarikat konsesi untuk membayarnya terlebih dahulu sebelum memperbaharui cukai jalan mereka,” kata seorang sumber yang merupakan eksekutif dalam industri.

Bukan hanya PLUS, dikhabarkan ada beberapa syarikat konsesi lebuhraya besar lain seperti Prolintas turut telah memulakan ujian perintis sistem MLFF ini di lebuhraya tertutup. Antaranya adalah Prolintas (konsesi untuk Lebuhraya Koridor Guthrie, LKSA dan Silk) serta Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR).

“Kos ujian percubaan yang dijalankan semuanya ditanggung secara dalaman. Pada penghujung ujian percubaan, yang belum ditentukan lagi, syarikat konsesi yang lebih kecil akan mempunyai pilihan untuk menggunakan mana-mana sistem yang paling sesuai untuk mereka,” kata satu lagi sumber.

Manakala sumber berlainan menyebut syarikat-syarikat konsesi lebuhraya turut akan meneroka industri lebuhraya secara keseluruhan menerusi Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSLKM), bagi menggunakan satu sistem tunggal di mana kesemua syarikat konsesi akan mempunyai kepentingan dalam syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.

“Inisiatif melalui MAHCC adalah untuk semua pemegang konsesi mengambil bahagian dalam syarikat yang menyediakan sistem dan menjadikannya sebagai entiti bukan berasaskan keuntungan,” kata sumber itu. The Edge menyatakan logik mewujudkan entiti tersebut untuk menyediakan sistem MLFF adalah berdasarkan kegusaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan pencatutan berlebihan yang akan terjadi ketika proses implementasi.

Sistem MLFF ini sudah disebut untuk digunakan di Malaysia sejak awal 2008. Pada 2015 PLUS menyatakan bahawa pihaknya bakal memperkenalkan sistem berkenaan pada 2018, dan seperti yang boleh kita lihat sekarang ia masih lagi belum digunakan. Dalam laporan Astro Awani pula menyebut bahawa kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan laluan tol tanpa palang bermula 2025. Namun masih banyak yang belum dimuktamadkan, adakah perancangan tersebut akan mengikut sasaran terbaharu berkenaan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required