Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

Selepas mengumumkan tempahannya dibuka sejak 22 Januari lalu, Denza Malaysia telah mempertontonkan MPV elektrik mewah Denza D9 untuk tatapan umum dan ia akan dilancarkan pada minggu hadapan, 20 Februari 2025. Untuk pengetahuan anda, Denza merupakan jenama premium bagi BYD yang kini makin mendunia dalam pengenalan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) hingga mampu memintas kedudukan Tesla.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2022, versi pemanduan sebelah-kanan bagi Denza D9 ini adalah sepenuhnya elektrifikasi, dan telah dilancarkan di Hong Kong pada Jun lalu. Berukuran 5,250 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,920 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 3,110 mm, Denza D9 ini dikatakan mampu memberikan persaingan buat Toyota Alphard/Vellfire dan Zeekr 009.

Di negara kelahirannya, selain ditawarkan dengan model elektrik penuh, D9 juga hadir dalam verdsi plug-in hybrid. Walay bagaimana pun, untuk pasaran Malaysia, ia hanya ditawarkan dengan versi elektrik sahaja. Seperti di pasaran Thailand dan Singapura, kita juga akan mendapat penawaran versi pacuan roda-hadapan (FWD) dan pacuan semua-roda (AWD).

Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

Bagi FWD, ia dinamakan sebagai varian Premium di Thailand dan Elite di Singapura, manakala untuk Malaysia, ia ditetapkan sebagai Advanced. Varian ini dilengkapi dengan motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan hamburan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 360 Nm. Bagi MPV seberat 2,764 kg ini, ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.5 saat dan jarak gerak maksimum cecah 600 km (NEDC) atau 620 km mengikut standard CLTC.

Untuk versi AWD pula, di Malaysia, ia dinamakan sebagai varian Premium, manakala Performance di Thailand dan Grandeur di Singapura. Ia ditampilkan dengan motor elektrik tambahan yang dipasang di belakang dengan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan tork 110 Nm, memberikan keseluruhan kuasa bagi sistem pacuan semua-roda mencecah 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan tork 470 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai pada 6.9 saat, dan jarak geraknya pula sekitar 580 km (NEDC) atau 600 km mengikut standard CLTC.

Kedua-dua versi penjana kuasa ini didatangkan dengan kapasiti bateri yang sama iaitu unit Blade lithium iron phosphate (LFP) 103 kWh dan D9 boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 166 kW dan AC 11 kW. Jika menggunakan pengecas DC, ia mampu mencapai status pengecasan antara 30-80% dalam masa sekitar 30 minit dan dalam 10 minit pengecasan, ia boleh memberikan jarak gerak sekitar 150 km.

D9 juga dilengkapi dengan peredam adaptif, dengan FWD menerusi suspensi peredam boleh laras Frequency Selective dan AWD pula menerusi DiSus-C Intelligent Damping Body Control System.

Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

Ruang dalaman antara ciri yang paling ingin ditonjolkan oleh pengeluar kereta ini, dengan D9 mampu memuatkan tujuh penumpang dewasa dengan selesa biarpun berketinggian sekitar 180 cm. Sementara ini, ruang kargonya pula boleh menempatkan sekitar tujuh beg 20-inci dan tujuh beg sandang. Ruang kabinnya juga dikatakan agak senyap, dengan tahap kebisingan sekitar 64.6 dBA apabila dipacu dalam kelajuan sekitar 120 km/j.

Ciri kelengkapan standard termasuk lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, roda aloi pelbagai-jejari 18-inci, pintu gelangsar dan pintu hadapan kuasa, elemen kemasan wood veneer asli, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup-enjin, penghidup kawalan kenderaan/pendingin hawa, bumbung suria kaca panoramik, dan sistem kawalan suhu tiga-zon.

Spesifikasi umumnya juga termasuk paparan skrin sesentuh sentral 15.6-inci (tidak boleh dipusingkan) dan skrin instrumen digital 10.25-inci, sistem audio Dynaudio dengan 14-pembesar suara, tiga alas pengecasan tanpa wayar 50 watt (satu di barisan hadapan, dua di barisan kedua), enam unit port USB (satu Type A, lima Type C). Selain itu, ia juga diberikan ruang peti sejuk dengan dwi kawalan suhu (yang boleh dilaras antara 06 dan 50-darjah celsius), yang diletakkan di bawah perehat tangan di antara tempat duduk hadapan.

D9 juga didatangkan dengan upholstery kulit premium dan headlining fabrik, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-hala dan pengaliran udara serta tempat duduk kapten larasan kuasa pada barisan kedua, setiap satunya diberikan skrin digital dan dilengkapi dengan corong pemanas/pengaliran udara serta fungsi 10-titik mengurut.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan tempat duduk larasan manual enam-cara untuk barisan ketiga, pencahayaan ambien, sistem pembersihan udara PM2.5 dengan negative ion purifier dan tailgate kuasa. Namun untuk varian tertinggi, ia diberikan ciri tambahan termasuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadpaan dengan fungsi mengurut dan memori, upholstery kulit Nappa, textured suede headlining dan paparan utama.

Bagi kelengkapan bantuan pemandu dan keselamatan, ia diberikan lapan beg udara dan set ADAS termasuk kawalan kelajuan adaptif, brek kecemasan autonomous, kepekaan trafik lintasan belakang dan hadapan dengan brek auto, amaran pelanggaran belakang, amaran ketibaan lorong dan bantuan kekal lorong.

Untuk pilihan warna luarannya, untuk pasaran Malaysia, Denza D9 ditawarkan dengan rona Arctic White, Whale Sea Blue dan Cosmos Black.

Berkenaan dengan harganya, ia hanya akan diumumkan sewaktu majlis pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada 20 Februari ini (Khamis hadapan). Namun, untuk pengetahuan anda, D9 ditawarkan pada harga bermula RMB379,800 hingga RMB 469,800 (RM233,620 hingga RM289,000) di China. Di Singapura pula, MPV EV ini baru dilancarkan pada bulan lalu, dengan D9 Elite pacuan roda-hadapan ditawarkan pada harga SGD296,888 (RM983,770), sementara D9 Grandeur AWD pula berharga SGD341,888 (RM1.132 juta), kedua-duanya termasuk COE. Manakala di Indonesia pula, harganya bermula dari Rp.950 juta (RM259,000), jadi kita mungkin boleh menjangkakan harganya di bawah RM300k untuk pasaran Malaysia.

Denza D9 Advanced FWD

Denza D9 Premium AWD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required