Unit CKD pertama Jaecoo J7 PHEV telah dikeluarkan dari kilang pemasangan jenama itu di Shah Alam (yang turut memasang Jaecoo J7 biasa dan juga Omoda C9) sebelum pelancaran rasminya bulan ini.
“Kami percaya bahawa Jaecoo J7 PHEV adalah sebuah penawaran yang tepat untuk mengisi permintaan pasaran terhadap kenderaan peralihan antara enjin biasa dan EV memandangkan ia menawarkan kelebihan daripada dua teknologi itu melalui Super Hybrid System (SHS),” jelas Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.
J7 PHEV akan dilancarkan dalam versi pacuan roda depan dahulu, yang akan dipasang di sini dengan harga anggaran RM170,000 — berdasarkan pengalaman sebelum ini, harga model Jaecoo ini mungkin akan dijual dengan harga lebih rendah ketika pelancarannya nanti. Ini merupakan model plug-in hybrid bagi model J7, dengan melibatkan sedikit perbezaan penampilan untuk membezakan antara keduanya, seperti roda aero baru bagi model PHEV ini.
Jaecoo J7 PHEV digerakkan oleh enjin petrol 1.5 TGDi (dan bukannya unit 1.6 liter turbocas empat-silinder/transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan bagi model petrolnya) yang dipadankan bersama transmisi hibrid DHT dan motor elektrik pada gandar roda hadapan.
Tetapan ini menghasilkan output kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS dan tork maksimum 525 Nm. Ini enjin yang sama digunakan oleh model bersaudaranya Chery Omoda 5 — untuk versi hibrid ini, unit enjinnya menghasilkan 143 PS dan 215 Nm tork (54 PS dan 75 Nm kurang kuasa berbanding J7 petrol). Janaan kuasanya juga dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menghasilkan 204 PS dan 310 Nm.
Bagi model 2WD, ia menggunakan bateri berkapasiti 18.3 kWh (dari BYD). Untuk pengecasan pula, yang dikongsikan ketika ini ialah untuk pengecasan pantas DC, ia mampu menampung sehingga 40 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan 6.6 kW. Fungsi V2L pula menyediakan kapasiti 3.3 kW.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.