Selepas harga untuk ZX-6R 2025 diumumkan November lalu, Modenas selaku pengedar rasmi motosikal jenama Kawasaki di Malaysia mengadakan majlis penyerahan 100 unit pertama model supersport tersebut di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.
Menurut Modenas, awalnya mereka cuma menjangkakan jualan 50 unit untuk tempoh permulaan, tetapi permintaannya melonjak sehingga 100 unit, menjadikan kumpulan pertama (first batch) dan kumpulan kedua terjual habis dalam tempoh yang singkat.
Antara yang menjadikan model ini cukup popular adalah harganya, yang dijual pada RM59,900 tidak termasuk insurans, menjadikannya lebih murah sekitar RM20,000 berbanding kali terakhir ZX-6R 636 dijual di Malaysia melalui pengedar rasmi (RM79,900).
Harga tersebut dapat ditawarkan kepada pelanggan melalui program pemasangan tempatan (CKD), berbanding sebelum ini import terus dari Jepun. Selain untuk pasaran tempatan, Modenas juga mengeksport model ini ke China.
Memacu model sports ini adalah enjin empat silinder sebaris berpenyejukan cecair 636 cc, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 124 PS pada 13,000 rpm (129 PS apabila Ram Air beroperasi) dan tork berada pada tahap 69 Nm pada 11,000 rpm.
Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan bagi memudahkan penggunaan serta menjamin prestasinya, ia dilengkapi dengan klac jenis assist & slipper serta quickhshifter secara standard.
Pada bahagian suspensi, ZX-6R menggunakan unit yang boleh dilaras sepenuhnya depan dan belakang, dengan unit fork Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) 41 mm di hadapan dan monoshock yang disambung dengan Uni-Trak di belakang. Brek menggunakan set berkembar cakera 310 mm serta angkup Nissin empat piston di hadapan.
Kelengkapan lain yang ada pada ZX-6R adalah termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), empat mod tunggangan, panel instrumen TFT-LCD 4.3 inci, kerangka aluminium twin-spar, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 795 mm dan berat keseluruhan 163 kg.
GALERI: Kawasaki ZX-6R CKD
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.