Proton eMas 7 kini sudah mencatatkan lebih daripada 4,000 tempahan. Daripada jumlah itu, 80% pelanggan memilih varian Premium yang paling tinggi. Dilancarkan pada Disember tahun lalu, serahan SUV elektrik Proton ini mula dilakukan pada Januari tahun ini — jualan bulan tersebut juga menyaksikan Proton menjual 421 unit eMas 7. Angka itu diterjemahkan kepada 25% perkongsian pasaran bagi pasaran EV.
“Hanya dalam tempoh sebulan diperlukan untuk Proton eMas 7 mendahulu pasaran EV di sini. Ini juga membuktikan pelanggan di Malaysia ingin beralih kepada EV, sekiranya produk dan tanda harganya betul. Dengan teknologi canggih yang dipadankan dengan platform baru serta pakej keseluruhan yang praktikal, Proton mampu menawarkan produk yang berdaya saing kepada pelanggan, memberikan nilai dan pelindungan lepas jualan yang sukar ditandingi dalam kelasnya,” jelas Timbalan CEO Proton Edar, Zhang Qiang.
Ketika pelancarannya, Proton menawarkan diskaun bagi 4,000 pelanggan terawal, serta kelebihan bagi pakej sempena pelancaran kepada 3,000 pelanggan terawal. Selepas semua itu dimanfaatkan, Proton menambah lagi 3,000 unit untuk promosi yang sama, menjadikan keseluruhannya 6,000 unit. Dengan diskaun, varian Premium dijual dengan harga RM119,800 dan Prime pula RM105,800.
Disebabkan permintaan terhadap varian Premium lebih tinggi, pelanggan yang memilih varian Prime dijangka menerima serahan mereka lebih cepat.
“Bagi jangka masa pendek, pelanggan yang memilih varian Prime akan menerima kenderaan mereka lebih cepat. Sasaran kami adalah untuk menyerahkan 1,000 unit menjelang hujung Februari, dan dirancakkan lagi pada Mac untuk memenuhi permintaan yang tinggi,” ujar Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff kepada kami bulan lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.