Mungkin ramai yang tak tahu, Mugen (yang dikendalikan oleh syarikat M-Tec Co.) bukanlah divisi perlumbaan rasmi sebenar Honda dimana ia sebenarnya syarikat berasingan ditubuhkan oleh Hirotoshi Honda, anak kepada pengasas Honda iaitu Soichiro Honda. Buat masa sekarang segala program sukan permotoran Honda termasuk Formula 1, Super GT, dan banyak lagi dikendalikan oleh Honda Racing (HRC).
Sepanjang ia ditubuhkan, HRC hanya menumpukan aktiviti sukan permotoran dalam litar tanpa menghasilkan produk-produk prestasi yang boleh digunakan di atas jalan raya. Namun pada acara SEMA 2024 yang berlangsung di Amerika Syarikat November lalu, HRC telahpun mengumumkan penubuhan divisi peralatan prestasi yang bakal menawarkan komponen-komponen prestasi yang boleh digunakan oleh model-model produksi Honda dan akan dijual pada pasaran aftermarket.
Dan terbaharu, HRC dilaporkan berminat untuk menghasilkan model produksi jalan raya yang ditala lebih agresif dari model-model Honda Type R dan Acura Type S sedia ada!
“Hari ini saya masih tak boleh beritahu rancangan terperinci, tetapi ya, kami perlu menghasilkan model prestasi seperti itu bersama dengan teknologi perlumbaan HRC,” kata presiden Honda Racing, Koji Watanabe dalam laporan The Drive.
“Kami tiada rancangan yang kukuh lagi, tetapi yang pertama nanti akan diasaskan dari model-model yang sudah sedia ada seperti Integra Type S atau Honda Type R,” jelasnya lagi.
Apa yang diperkatakan oleh Watanabe ini bukan sekadar ‘sembang kosong’ kerana HRC sebenarnya sudah menghasilkan Acura Integra Type S HRC Prototype. Prototaip tersebut dihasilkan dengan pengetahuan yang ditimba oleh HRC dalam penghasilan jentera lumba Touring Car Integra dalam kelas TCX pada perlumbaan SRO TC America untuk diterapkan pada sebuah model kegunaan jalan raya.
Jadi ia menerima kit aero dan juga pelbagai komponen yang diperbuat dari bahan gentian karbon bagi membolehkan prototaip ini sekitar 90 kilogram lebih ringan dari Acura Type S biasa. Ia juga menerima pelbagai peralatan prestasi yang diambil terus dari kereta lumba TCX berkenaan antaranya unit intercooler yang lebih besar, penyejuk minyak enjin berkembar dan juga sistem ekzos.
GALERI: Acura Integra Type S HRC Prototype
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.