Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery) melunaskan janjinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produksinya bagi rantau ini dengan mula mengeksport kenderaan yang diproduksi menerusi kilangnya di Shah Alam ke pasaran negara-negara ASEAN. Menurut syarikat itu, ia juga menjadi jenama China pertama yang mula mengeksport kenderaan keluar dari Malaysia.
Kumpulan pertama kenderaan yang dieksport berkenaan merupakan SUV dari sub-jenama Jaecoo dengan enjin pembakaran dalaman dan juga plug-in hybrid (PHEV) dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) untuk pasaran Vietnam. Selepas ini lebih banyak model dalam versi LHD dan pemanduan sebelah kanan (RHD) turut akan dieksport ke negara-negara ASEAN yang lain termasuk Thailand, Brunei, Filipina dan Singapura.
“Chery sedang berkembang dengan baik ke arah mewujudkan Malaysia sebagai hab pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami di Asia Tenggara. Memperluaskan keupayaan mengeksport kami meningkatkan kapasiti pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini.
“Tambahan pula, Chery teruja untuk memainkan peranan dalam meningkatkan ekonomi Malaysia, membangunkan bakat tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan kami. Kami yakin dalam mencapai matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab eksport terkemuka bagi kenderaan Chery termasuk sub-jenama premium kami Jaecoo,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.
Menurut Chery lagi, produksi untuk bekalan pasaran Asia Tenggara ini bukan hanya bergantung kepada fasilitinya di Shah Alam, malah ia kini sedang dalam persediaan untuk memperbanyakkan lagi produksi untuk berkembang pada masa hadapan menerusi kerjasama strategik dengan kilang-kilang pemasangan kenderaan yang lain di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.