Sabah kini sedang bersedia untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam industri EV dan merancang untuk membuka kilang pemasangan EV pertama di negeri itu di Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Sandakan, lapor The Star.
Projek berkenaan akan dikendalikan oleh Maxland Auto Sdn Bhd, sebuah syarikat yang telah memperoleh lesen pengilangan persekutuan daripada MIDA tahun lalu, dan akan melabur sejumlah RM100 juta menjelang 2028 untuk tujuan tersebut. Kilang berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya tahun ini. Melalui usaha ini, Maxland Auto akan terlibat dalam pemasangan bas EV serta pembangunan sistem penyejukan untuk bangunan perindustrian.
Mac tahun lalu The Edge melaporkan bahawa syarikat induk kepada Maxland Auto Sdn Bhd, Priceworth International Bhd telah umumkan yang anak syarikatnya itu telah dilantik sebagai pengedar produk bas oleh pengeluar bus kedua terbesar di sana, Higer Bus Company Ltd. Maxland akan mengedar dan memasang produk bas Higer di Sabah dan Sarawak.
“Perkembangan ini selari dengan visi kerajaan negeri untuk mempelbagaikan perindustrian dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” jelas Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe ketika lawatan tapak yang dilakukan baru-baru ini. Kementerian tersebut serta semua agensi yang berada di bawahnya akan memberi sokongan kepada pelaburan ini.
“Kerajaan komited untuk memupuk pertumbuhan industri dan memastikan Sabah menjadi pemain utama bagi sektor teknologi hijau,” jelas Phoong, dalam menekankan kepentingan pengangkutan tenaga bersih dalam memacu ekonomi.
Projek berkenaan juga dijangka akan membuka sehingga 500 peluang pekerjaan pada fasa ketiganya, yang turut terdiri daripada sebuah kilang pengeluaran.
Turut mengiringi menteri dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Thomas Logijin; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Joseph Kinson; Pengarah Jabatan Pembangunan Industri dan Kajian, Rodolfo Blantocas; Pengarah MIDA Sabah, Joseph Benjamin dan Timbalan Pengerusi Invest Sabah Berhad, George Wong.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.