EV pertama dari Proton iaitu SUV eMas 7 mendapat sambutan hangat dari pasaran tempatan – sejak ia dilancarkan pada Disember tahun lalu sehingga bulan ini, model tersebut telah ditempah melebihi 4,000 unit. Sudah tentu ia dipacu oleh pelbagai faktor, dan yang paling utama, unit rangkaian kuasa, perincian dan juga harga yang ditawarkan sangat kompetitif berbanding pesaing terdekatnya, BYD Atto 3.
Walau bagaimanapun ada satu perincian yang agak ‘mengganggu’ pemilik Proton eMas 7 ini buat masa sekarang, iaitu bunyi muzik seakan ‘lori ais krim’ sekiranya ia dipandu pada kelajuan di bawah 30 km/j. Bunyi ini sebenarnya adalah fungsi keselamatan bagi memberitahu kehadiran SUV ini kepada pengguna jalan raya yang lain, khususnya penunggang motosikal dan pejalan kaki.
Ini kerana EV yang tidak mempunyai enjin adalah sangat senyap ketika ia bergerak secara perlahan dan ia mungkin akan mengakibatkan kemalangan sekiranya kehadirannya tidak dikesan oleh pengguna jalan raya yang lain. Fungsi ini juga sebenarnya ada juga diberikan pada model-model EV jenama lain, tetapi hanya fungsi pada Proton ini tidak dapat dimatikan dengan cara apa sekalipun.
Menurut Proton, fungsi berkenaan tidak boleh dimatikan kerana ia perlu memenuhi syarat kelulusan undang-undang UN ECE. Namun dengan rungutan dari pelanggan, kami difahamkan bahawa Proton bakal mengubah perincian tersebut untuk memberikan pilihan kepada pemandu bagi menutup fungsi tersebut sekiranya ia tidak diperlukan.
Perkara ini didedahkan oleh Proton dalam satu acara bersama pelanggan. Selain dari bunyi amaran berkenaan, Proton turut akan membuat kemaskini terhadap pratetapan pada frekuensi radio, di mana buat masa sekarang frekuensi tersebut akan diset semula setiap kali kereta dimatikan.
Proton eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.
Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.
GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025
GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.