Geely EX5 terima talaan suspensi, ADAS khusus untuk Australia – tak jadi guna talaan suspensi Proton?

Geely EX5 terima talaan suspensi, ADAS khusus untuk Australia – tak jadi guna talaan suspensi Proton?

Kembar Proton eMas 7 iaitu Geely EX5 bakal dilancarkan di Australia tidak lama lagi, dan menurut laporan GoAuto, model berkenaan telahpun lengkap menjalani talaan suspensi dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) khusus untuk keadaan jalan negara tersebut.

Menurut portal berkenaan, talaan termasuk ujian dan juga penilaian berkenaan telah mengambil masa selama 12 bulan. Pasukan yang membuat talaan itu mahu memastikan EX5 sesuai dengan keadaan jalan di Australia dengan karekteristik yang lebih unik, di mana ia menampilkan permukaan yang disalut dengan serpihan kasar yang menghasilkan pemanduan lebih kasar, lebuhraya jarak jauh dengan permukaan beralun, dan jalan raya di kawasan subbandar yang banyak bonggol serta bulatan.

Ketua Geely Auto Australia memberitahu GoAuto bahawa kerja-kerja yang dilakukan pasukannya telah menghasilkan “talaan suspensi diperhalusi yang memberikan keseimbangan sempurna terhadap apa yang dimahukan oleh pemandu di Australia, memperbaiki tetapan berkenaan agar ia kekal stabil tanpa mengorbankan keselesaan atau kawalan pemandu.”

“Kami mahu memastikan kereta itu menawarkan pengalaman hebat untuk warga Australia dan pelarasan ini akan memberikan pemanduan yang lebih lancar di atas permukaan kasar, kestabilan yang lebih baik untuk perjalanan jarak jauh, dan ketahanan untuk mengendalikan beban berubah-ubah — semuanya sambil mengekalkan keselesaan, keyakinan dan kebolehpercayaan yang diharapkan pengguna,” tambahnya.

Sudah tentu keadaan jalan raya setiap negara adalah berbeza-beza, dan Australia tidak terkecuali. Namun sebelum ini paultan.org sendiri diberitahu oleh wakil dari Geely bahawa EX5 akan menggunakan talaan suspensi yang dihasilkan Proton untuk eMas 7 bagi model-model yang dieksport keluar dari China, termasuk Australia. Dengan pengumuman yang dibuat oleh Geely Australia ini, adakah ini bermakna rancangan asal berkenaan tidak terpakai untuk Australia?

Pihak GoAuto sendiri sebelum ini sudah berpeluang untuk menguji EX5 di China. Menerusi laporan yang diterbitkan pada 2 Disember lalu, portal berkenaan menyatakan bahawa EX5 pasaran China menampilkan tetapan suspensi yang terlalu lembut berbanding apa yang dimahukan oleh kebanyakkan pemandu di Australia.

Portal itu menjelaskan bahawa suspensi pada EX5 pasaran China itu memberikan keselesaan dan kawalan yang baik, tetapi talaan spring dan penyerap hentak yang terlalu lembut tidak sesuai dengan permukaan jalan raya Australia yang sentiasa berubah-ubah.

Sementara itu bagi sistem ADAS yang juga telah ditala semula untuk Australia, ia membabitkan fungsi bantuan kekal lorong, pengecaman maklumat tanda trafik dan pemantauan pemandu. EX5 pasaran Australia turut disahkan menerima fungsi ADAS lain termasuk cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, bantuan gerakan mengelak, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, serta diberikan tujuh beg udara sebagai perincian standard.

Menurut GoAuto, Geely EX5 dijangka akan dijual pada harga sekitar AUD45,000 (RM127k), serta menampilkan jarak gerak yang sama seperti Proton eMas 7 varian Premium di Malaysia iaitu 430 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required