Nissan Navara D23 sudahpun berada satu dekad dalam pasaran tahun ini. Jadi walaupun Nissan kini sedang bergolak dengan krisis kewangan yang mungkin akan menyebabkan ia muflis sekiranya tidak mendapat pelabur yang stabil selepas rancangan untuk bergabung dengan Honda sebelum ini dibatalkan, model generasi baharu bagi trak pikap berkenaan masih perlu dibangunkan dan diperkenalkan dalam pasaran.
Khabar terbaharu dari portal automotif Australia, Drive, Nissan Navara 2026 berkenaan bakal diperkenalkan di pasaran tersebut pada akhir tahun ini. Menurut laporan tersebut imej Navara berkenaan telah pun ditunjukkan secara tertutup kepada pengedar-pengedar Nissan di Australia yang menghadiri persidangan nasional minggu lalu.
Model generasi baharu itu dijangka akan berada di bilik-bilik pameran Nissan Australia pada suku keempat tahun ini, jadi pendedahannya sulung globalnya mungkin akan dibuat lebih awal daripada itu. Drive turut menyatakan bahawa Navara generasi baharu ini tidak akan diproduksi oleh kilang Nissan, sebaliknya ia akan dipasang oleh kilang Mitsubishi di Thailand kerana ia berkongsi asas yang sama dengan Triton generasi terkini.
Triton telah dilancarkan jauh lebih awal iaitu pada 2023. Trak pikap dari Mitsubishi itu juga sebenarnya menggunakan casis ladder frame baharu yang dibangunkan berdasarkan casis Navara D23. Ini adalah kerana kedua-dua jenama ini berada dalam pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi bagi saling memanfaatkan sumber yang ada.
Dalam satu lagi laporan Drive minggu lalu, pengarah urusan Nissan Oceania Andrew Humberstone mengesahkan bahawa walaupun Navara berkongsi asas dengan Triton, ia akan menampilkan rupa yang berbeza dan menyerlahkan DNA Nissan sebenar.
“Kami memastikan bahawa ia adalah Nissan. Jadi kami akan membuat beberapa perubahan untuk memastikan perkara itu berlaku,” kata Humberstone.
Dengan berkongsi kilang yang sama, dapat dijangka Navara turut akan menggunakan enjin MIVEC turbodiesel 4N16 2.4 liter empat-silinder berkuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Enjin berkenaan jelas lebih berkuasa dari enjin Navara sedia ada iaitu unit empat silinder 2.5 liter turbodiesel yang menghasilkan 190 PS dan tork 450 Nm.
Enjin tersebut juga mungkin akan dipadankan terus dengan kotak gear enam-kelajuan automatik yang sama dengan Triton, namun tidak dapat dipastikan Navara akan menggunakan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II Mitsubishi, atau menggunakan sistem rekaannya tersendiri.
Dengan menggunakan asas Triton juga, Navara dijangka tidak lagi akan menggunakan spring gegelung untuk suspensi belakang seperti model sedia ada, dan ia akan diganti dengan spring dedaun sama seperti Triton. Sebelum ini ketua pegawai perancangan Nissan untuk rantau Afrika, Timur Tengah, India, Eropah dan Oceania, François Bailly ada menyatakan bahawa keputusan Nissan untuk memadankan spring gegelung pada D23 adalah “satu kesilapan”, dan ia tidak akan diulang pada model generasi baharu berkenaan.
Penggunaan spring gegelung berkenaan sebelum ini adalah untuk memberikan keselesaan pada Navara, namun ia menyebabkan bahagian belakang mendap sekiranya ada beban diletakkan pada bahagian bed.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.