Susulan cadangan Ahli Parlimen PH-Tebrau Jimmy Puah untuk mewajibkan pemeriksaan semula kenderaan berusia 15 tahun ke atas sebelum boleh memperbaharui cukai jalan di Dewan Rakyat tempoh hari, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan bahawa cadangan itu disifatkan tidak berasas.
Dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi laman media sosial Facebook, Fadhli yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menyatakan bahawa kerajaan tidak pernah mengeluarkan data peratusan kemalangan melibatkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas untuk diwajibkan pemeriksaan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa cadangan itu hanya akan membebankan rakyat. “Saya harap kerajaan tidak melaksanakan cadangan dari MP Kerajaan ini. Secara ‘KEBETULAN’, ia dicadang selepas PUSPAKOM ada pesaing yang diumumkan sendiri oleh kerajaan. Sudah tentu, ada kerja, ada lah keuntungan….,” tambahnya lagi.
Dalam cadangan yang disebut dalam Dewan Rakyat minggu lalu, Puah memberitahu langkah bagi mewajibkan pemeriksaan tersebut adalah penting kerana kereta lama lebih berpotensi untuk rosak, seterusnya menyebabkan kesesakan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan insentif tunai bagi menggalakkkan pemilik-pemilik untuk melupuskan kereta lama, dan menyifatkan langkah tersebut adalah cara yang berkesan bagi melupuskan kereta yang sudah berusia di atas jalan raya.
Puah juga mendedahkan bahawa kenderaan di Malaysia sekarang telah melebihi 36.6 juta, atau sudah melepasi jumlah populasi, tidak termasuk kanak-kanak di bawah 17 tahun dan warga emas 80 tahun ke atas. “Ini bermakna hampir semua rakyat Malaysia memiliki dua buah kereta,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.