Sime Motors yang membawa masuk jenama Denza ke pasaran Malaysia telah melancarkan MPV elektrik, Denza D9 selepas ia dipertontonkan secara eksklusif untuk media tempatan pada minggu lalu. Denza merupakan jenama premium yang berada di bawah naungan BYD yang kini makin mendunia dalam pengenalan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) hingga mampu memintas kedudukan Tesla.
Untuk pasaran Malaysia, Denza D9 ditawarkan dengan dua varian iaitu Advanced yang merupakan versi pacuan roda-hadapan (FWD) dengan harga RM259,000 dan Premium yang dilengkapi sistem pacuan semua-roda (AWD) pula berharga RM309,000. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.
Sempena dengan pelancarannya, ia diberikan tawaran ekslusif dengan wallbox 22 kW percuma termasuk pemasangan, penyelenggaran percuma enam-tahun atau 120,000 km, bantal leher dan pinggang serta beg Denza. Tempahan bagi Denza D9 ini juga sudah dibuka sejak 22 Januari lalu.
Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2022, MPV elektrik ini berukuran 5,250 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,920 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 3,110 mm, dan Denza D9 ini dikatakan mampu memberikan persaingan buat Toyota Alphard/Vellfire dan Zeekr 009.
Bagi varian Advanced FWD, ia dilengkapi motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan hamburan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 360 Nm. Bagi MPV seberat 2,764 kg ini, ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.5 saat dan jarak gerak maksimum cecah 520 km (WLTP) atau 620 km mengikut standard CLTC.
Untuk varian tertinggi Premium AWD pula, ditampilkan dengan motor elektrik tambahan yang dipasang di belakang dengan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan tork 110 Nm, memberikan keseluruhan kuasa bagi sistem pacuan semua-roda mencecah 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan tork 470 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai pada 6.9 saat, dan jarak geraknya pula sekitar 480 km (WLTP) atau 600 km mengikut standard CLTC.
Kedua-dua versi penjana kuasa ini didatangkan dengan kapasiti bateri yang sama iaitu unit Blade lithium iron phosphate (LFP) 103 kWh dan D9 boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 166 kW dan AC 11 kW. Jika menggunakan pengecas DC, ia mampu mencapai status pengecasan antara 30-80% dalam masa sekitar 30 minit dan dalam 10 minit pengecasan, ia boleh memberikan jarak gerak sekitar 150 km.
D9 juga dilengkapi dengan sistem e3 DENZA yang berkuasa merangkumi tiga motor elektrik, stereng roda belakang, teknologi Cell-to-Body (CTB), dan Kawalan Pergerakan Kenderaan (VMC), menghasilkan prestasi unggul dalam pelbagai keadaan pemanduan. Untuk FWD, ia diberikan suspensi peredam boleh laras Frequency Selective .Manakala bagi AWD, ia diberikan tambahan sistem kawalan badan pintar DiSus meningkatkan pengalaman pemanduan dengan suspensi aktif DiSus-C untuk kestabilan dalam semua keadaan dan DiSus-A untuk pelarasan dinamik, memaksimumkan keselesaan serta mengoptimumkan keupayaan luar jalan.
Untuk penampilan luarannya, Denza D9 diserlahkan dengan gril hadapan Motion yang menampakkan imej yang garang, lampu utama LED automatik dengan lampu tinggi pintar, Intelligent sensor dynamic welcome headlights, lampu nyalaan siang (DRL) LED dan lampu belakang berbentuk anak panah.
Selain itu, ia juga ditampilkan dengan bumbung suria elektronik dengan bumbung panoramik 1.1 meter, dua lapisan kaca penebat bunyi, cermin sisi larasan elektronik, pintu gelangsar untuk kedua-dua sisi, dan roda aloi pelbagai-jejari bersaiz 18-inci dibaluti tayar Michelin/Marlin.
Ruang dalaman antara ciri yang paling ingin ditonjolkan oleh pengeluar kereta ini, dengan D9 mampu memuatkan tujuh penumpang dewasa dengan selesa biarpun berketinggian sekitar 180 cm. Sementara ini, ruang kargonya pula berkapasiti 410 liter, dan boleh mencecah hingga 2,310 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan. Dan Denza mendakwa ruang itu boleh menempatkan sekitar tujuh beg 20-inci dan tujuh beg sandang. Ruang kabinnya juga dikatakan agak senyap, dengan tahap kebisingan sekitar 64.6 dBA apabila dipacu dalam kelajuan sekitar 120 km/j.
Ciri kelengkapan standard termasuk elemen kemasan wood veneer asli, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup-enjin, penghidup kawalan kenderaan/pendingin hawa, pencahayaan ambien pelbagai-warna dan sistem kawalan suhu automatik dengan tiga-zon, corong udara individual untuk barisan tengah dan belakang, paparan skrin sesentuh sentral 15.6-inci (tidak boleh dipusingkan) dan skrin instrumen digital 10.25-inci dan sistem audio HiFi dengan 14-pembesar suara Danner.
Spesifikasi umumnya juga termasuk tiga alas pengecasan tanpa wayar 50 watt (satu di barisan hadapan, dua di barisan kedua), enam unit port USB (satu Type A, lima Type C), dan Remote High Temperature Sterilization and Disinfection, dan ruang peti sejuk berkapasiti 6.8 liter dengan dwi kawalan suhu (yang boleh dilaras antara 06 dan 50-darjah celsius) yang diletakkan di bawah perehat tangan di antara tempat duduk hadapan.
D9 juga didatangkan dengan upholstery kulit premium dan headlining fabrik, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-hala dan pengaliran udara serta tempat duduk kapten larasan kuasa pada barisan kedua, setiap satunya diberikan skrin digital dan dilengkapi dengan corong pemanas/pengaliran udara serta fungsi 10-titik mengurut.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan tempat duduk larasan manual enam-cara untuk barisan ketiga, pencahayaan ambien, sistem pembersihan udara PM2.5 dengan negative ion purifier dan tailgate kuasa. Namun untuk varian tertinggi, ia diberikan ciri tambahan termasuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadpaan dengan fungsi mengurut dan memori, upholstery kulit Nappa, textured suede headlining dan paparan utama.
Bagi kelengkapan bantuan pemandu dan keselamatan, ia diberikan lapan beg udara dan set ADAS termasuk kawalan kelajuan adaptif, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan autonomous, kepekaan trafik lintasan belakang dan hadapan dengan brek auto, amaran pelanggaran belakang, pemantauan titik buta, amaran ketibaan lorong dan bantuan kekal lorong kecemasan, pengesan isyarat trafik, kawalan pemanduan pintar, Ultrasonic radar, High Precision Millimeter Wave Radar, Smart Driving Surround View Camera dan Smart Driving High Perception Camera.
Untuk pilihan warna luarannya, untuk pasaran Malaysia, Denza D9 ditawarkan dengan rona Arctic White, Whale Sea Blue dan Cosmos Black. Manakala untuk rona dalam kabin pula ialah coklat dan varian AWD Whale Sea Blue ditawarkan dengan tambahan warna Beige.
Denza D9 Advanced FWD
Denza D9 Premium AWD
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.