Kia telah mendedahkan gambar awal model produksi PV5, sebuah van elektrik pertama keluarannya yang ditunjuk dalam bentuk van penumpang dan van kargo. PV5 merupakan model pertama Kia daripada barisan kenderaan Platform Beyond Vehicle (PBV) yang akan menampilkan teknologi EV Kia terkini. Model ini juga akan ditawarkan dalam beberapa konfigurasi.
Varian penumpang dan kargo yang ditunjukkan ini antara lain tampil dengan bahagian lengkuk roda geometrik hitam dan rocker panel untuk memberikan karakter imej ala SUV dan off-road yang lasak. Di depan, kemasan hitam dan lampu unik membawakan identiti baru jenama ini.
Antara yang membezakan dua varian ini adalah rekaan pintu belakangnya, dengan versi penumpang dengan pintu bukaan ke atas seperti biasa, manakala versi cargo dengan pintu bukaan ke tepi untuk memudahkan keluar-masuk barangan. PV5 Cargo juga tampil lebih berkotak berbanding versi penumpang — untuk pengurusan ruang yang lebih cekap.
PV5 Concept yang ditunjukkan tahun lalu ketika Consumer Electronics Show (CES) menggunakan platform E-GMP yang diubah suai dan memanfaatkan tetapan motor di depan dan senibina elektrikal 400-volt (dan bukannya 800-volt seperti EV6 dan EV9).
Sebuah lagi van EV yang menggunakan penawaran yang sama ialah Volkswagen ID. Buzz, yang ditawarkan dalam versi penumpang dan juga cargo — dengan versi kargo turut dihadirkan dalam bentuk jarak roda panjang untuk lebih ruang barangan di dalam.
Kia bagaimanapun belum mendedahkan spesifikasi teknikal bagi PV5 Passenger dan PV5 Cargo, dengan maklumat lanjut akan mula dikeluarkan pada 24 Februari ini. Barisan model lain bagi kenderaan komersial Kia ini nanti turut akan disertai oleh model-model akan datang seperti PV1, PV3 dan PV7.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.