Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa setiap aduan mengenai jalan berlubang di Wilayah Persekutuan perlu diselesaikan dalam tempoh 12 jam berbanding 24 jam sebelum ini. Menurutnya langkah itu selaras dengan “dasar sifar lubang” di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur.
“Perkara itu penting untuk keselamatan pengguna tambahan pula tahun ini kita berdepan dengan Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan,” katanya dalam laporan Bernama.
Beliau menyatakan keyakinannya bahawa setiap aduan dapat diselesaikan lebih cepat menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan secara langsung untuk mengesan jalan yang berlubang, dan ini dapat menyelesaikan isu penyelenggaraan bandar.
Dr Zaliha turut memberitahu semua aduan berkaitan jalan berlubang boleh disalurkan kepada Adu@KL atau mana-mana saluran aduan agensi yang menjadi ahli “KL Strike Force”. Buat masa sekarang beliau menjelaskan aduan yang biasa diterima kebanyakan di kawasan Kuala Lumpur yang dilalui banyak kenderaan serta kawasan laluan perindustrian.
Menurutnya lagi kini terdapat 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih dan dilengkapi Al telah dipasang di sekitar Kuala Lumpur.
“CCTV ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan awam tetapi juga akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan termasuk pemantauan secara proaktif dan tindakan lebih pantas kepada situasi kecemasan, insiden trafik mahu pun aktiviti jenayah,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.