Selain model adventure/touring versi 800 (800 MT Sport, 800 MT Explore dan 800 MT-X), CFMoto juga mempunyai versi 700 yang lebih mampu milik dan datang dengan enjin lebih kecil. Melalui maklumat yang kami terima, ia bakal tiba di pasaran Malaysia bulan ini dengan harga sekitar RM34k.
Sebenarnya, 700 MT ini adalah model yang dipertingkat daripada model 650 MT dan baru sahaja diperkenalkan kepada dunia tahun ini. Daripada 649 cc, kapasiti enjin dua silindernya dipertingkat menjadi 693 cc dan sekarang mampu menghasilkan 74 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm.
Penyampaian kuasa dikawal melalui transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, dan tiada mod tunggangan yang disediakan. Paparan informasi dibuat melalui skrin TFT lima inci baru yang mempunyai dua soket USB pada bahagian tepinya, sementara penghadang angin hadapan boleh dilaras secara secara manual.
Model ini datang dengan padanan rim spoked aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut masing-masing tayar 110/80 dan 150/70, dan kemudiannya dipegang oleh fork USD 43 mm boleh laras dan monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan.
Tugas membrek dijalankan unit cakera berkembar di hadapan, cakera tunggal di belakang serta sistem ABS. Turut disediakan adalah sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Dalam keadaan standard, 700 MT ini datang dengan tempat duduk berketinggian 800 mm, sementara tempat duduk yang lebih tinggi disediakan sebagai aksesori.
Kelengkapan lainnya adalah termasuk tangki bahan api 20 liter, semua lampu jenis LED, penghadang tangan, penghadang bawah enjin, pemerhati tekanan angin tayar dan besi pelindung radiator. Melalui harga RM34k itu kami menjangkakan ia hanya akan datang dengan aksesori ringkas sahaja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.