Chery Corporate Malaysia (Chery Malaysia) telah mengadakan majlis pecah tanah untuk pembinaan Chery Smart Auto Industrial Park, yang terletak di Beringin High-Tech Auto Valley di Hulu Selangor.
Projek itu dilaksanakan menerusi perjanjian antara Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery Malaysia) dan Legenda Beringin Holding Sdn Bhd (Legenda Beringin) bagi membangunkan secara berperingkat kawasan seluas 800 ekar di Lembah Beringin. Majlis pemeteraian kerjasama ini ditandatangani antara Presiden Chery International, Zhang Gui Bin dan juga Pengerusi Legenda Beringin Chia Song Kooi, yang disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Menurut Zhang, Chery Smart Auto Industrial Park menjadi projek utama dalam fasa pertama pembangunan ini, meliputi kawasan seluas 200 ekar dan bakal membawa teknologi automotif canggih serta menarik pelaburan dan tenaga kerja mahir ke Hulu Selangor. Selain itu, Chery Smart Auto Industrial Park juga disasar untuk mengeluarkan sebanyak 100,000 kenderaan setahun.
Chery Smart Auto Industrial Park akan dibangunkan dengan kos RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun, dan baki kawasan tanah akan digunakan untuk pembangunan lain dalam rantaian bekalan, latihan vokasional, inovasi automotif dan kemajuan teknologi, kata pengeluar itu.
“Chery berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan berwawasan ini, di mana kami akan mewujudkan kemudahan pembuatan tercanggih, menyepadukan teknologi pintar termaju, dan menghasilkan rangkaian kenderaan yang luas.
“Kami yakin apabila siap, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menempatkan pusat R&D termaju, mengembangkan eksport kenderaan ke negara jiran, mengukuhkan peranan Selangor melalui rantaian bekalan automotif, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif terkemuka di ASEAN,” kata Zhang..
Pada masa ini, Chery Malaysia mengendalikan kilang pemasangannya di Shah Alam yang dibuka pada April 2024, di mana Jaecoo J7 dikeluarkan untuk pasarantempatan dan eksport. Ini adalah tambahan kepada kilang Inokom di Kulim, Kedah di mana Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.