MINI EV generasi seterusnya mungkin pacuan roda belakang dengan platform 800V dari BMW Neue Klasse

MINI EV generasi seterusnya mungkin pacuan roda belakang dengan platform 800V dari BMW Neue Klasse

BMW Group mengumumkan bahawa platform kenderaan elektrik (EV) generasi ke-enam (Gen6) yang sedang dibangunkan bakal dijadikan asas untuk semua segmen keluarannya. Jadi ini bermaksud platform dengan senibina elektrik 800-volt berkenaan bukan hanya digunakan pada model-model BMW, malah ia turut akan digunakan pada model-model dengan jenama MINI.

Menurut BMW, teknologi Gen6 eDrive ini akan membolehkan pengecasan bateri menjadi 30% lebih laju dan jarak gerak 30% lebih jauh, malah bagi model-model tertentu penggunaan platform ini dapat memberikan tingkat taraf lebih besar. Teknologi eDrive Gen6 ini akan digunakan buat pertama kali pada model Neue Klasse yang akan muncul pada tahun ini.

Buat masa sekarang model-model EV MINI iaitu Cooper SE dan Aceman SE diasaskan dari platform yang dibina bersama Great Wall Motor (GWM), di mana kedua-duanya menerima satu motor elektrik yang memacu roda hadapan.

Manakala untuk platform yang menjadi asas kepada Neue Klasse kelak, motor elektrik utama yang dikenali sebagai electrically excited synchronous motor (EESM) akan berada pada bahagian belakang bersama transmisi dan juga unit kawalan elektronik, bagi memacu roda belakang.

Manakala bagi varian-varian dua motor pacuan semua roda unit rangkaian kuasa Gen6 berkenaan, satu lagi motor elektrik lebih kecil (ASM) tanpa kotak gear diletakkan pada bahagian hadapan, bagi memacu roda hadapan.

Menurut laporan Autocar, pasukan jurutera BMW Group tidak akan menghasilkan platform baharu berkenaan dalam varian di mana ESSM diletakkan pada bahagian hadapan dan ASM di bahagian belakang, kerana konfigurasi pacuan belakang adalah “lebih baik untuk dinamik”.

Jadi adakah ini bermaksud model-model EV MINI generasi baharu kelak turut akan menampilkan konfigurasi pacuan roda belakang, berbanding DNA asal MINI sejak dari model klasik yang sememangnya memacu roda hadapan? “Kita akan lihat nanti pada masa depan,” kata ahli lembaga BMW untuk pembelian dan pembekalan, Joachim Post.

Beliau menjelaskan model-model MINI pada masa akan datang akan “sentiasa mempunyai ciri-ciri MINI”. “Apa yang terbaik, optimum untuk pakej? Kami mahu buat satu perkara boleh dilaksanakan: keseronokan memandu semata-mata,” jelasnya lagi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required