Ahad lalu seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun telah tampil membuat laporan di Balai Polis Goh Tong Jaya, Hulu Selangor bagi memaklumkan bahawa dia terlibat dalam kemalangan kerana kereta yang dipandu hilang kawalan, lalu terbabas di KM14.7 menghala ke Genting Highland.
Namun selepas itu perkara lain pula terjadi kerana pihak Polis menyedari bahawa Honda CR-Z yang dipandu oleh lelaki berkenaan merupakan kereta yang sama dalam video yang tular di laman media sosial Tiktok, memaparkan ia dipandu secara melulu bersama sekumpulan kereta Honda yang lain, dan kemudian menyebabkan ia terbabas di kawasan berkenaan.
Ini telah menyebabkan pemandu tersebut dipanggil semula ke oleh pihak polis bagi memberikan keterangan berkenaan insiden itu kerana melakukan tindakan yang merbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Pihak polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menghubungi pemandu berkenaan untuk tampil memberi keterangan. Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata Ketua Polis Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada awal pagi ini.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan Polis. “Polis Bentong juga akan mengambil tindakan tegas serta akan mengadakan operasi secara berterusan untuk memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna jalanraya yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.