Triumph Tiger Sport 800, yang baru sahaja didedahkan kepada dunia Oktober tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM63,900 tidak termasuk insurans. Empat warna ditawarkan, iaitu Cosmic Yellow, Caspian Blue/Phantom Black, Graphite/Sapphire Black dan Sapphire Black. Istimewa bagi 30 pelanggan terawal, mereka akan menerima beg barangan serta tongkat tengah.
Enjin yang digunakan pada Tiger Sport 800 ini dipanggil sebagai serba baru, dengan merupakan unit tiga silinder berkapasiti 798 cc, mampu menghasilkan 115 PS pada 10,750 rpm dan tork 84 Nm pada 8,500 rpm. Menyampaikan kuasa ini kepada roda belakang adalah transmisi enam kelajuan, yang didatangkan terus dengan Triumph Shift Assist (quickshifter) serta klac jenis slip & assist.
Selain enjin yang lebih berkuasa berbanding Tiger Sport 660, kelengkapan lain Tiger Sport 800 turut dipertingkat termasuk suspensi, yang menggunakan unit Showa boleh laras dengan fork USD SFF 41 mm di hadapan dan monoshock dengan tombol pra beban di belakang. Jarak gerak kedua-duanya adalah 150 mm.
Pada bahagian elektronik, motosikal ini menyediakan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, sementara informasi penting pula dipaparkan pada skrin gabungan digital LCD dan TFT – juga diberikan secara standard dengan sistem sambungan kepada telefon untuk memaparkan navigasi, notifikasi serta pemain muzik.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk Cornering ABS, tangki bahan api 18.6 liter, cruise control serta penghadang angin hadapan boleh laras secara manual. Berat keseluruhan Tiger Sport 800 adalah 214 kg dan tinggi tempat duduknya dalam keadaan standard adalah 835 mm.
Pada bahagian brek pula, Tiger Sport 800 mendapat tetapan cakera 310 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera 255 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang. Ia melekap pada rim 17 inci yang dibalut masing-masing tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.