BMW M4 CS Edition VR46 dikeluarkan sempena tahun kelahiran Valentino Rossi, hanya 46 unit ditawarkan

BMW M4 CS Edition VR46 dikeluarkan sempena tahun kelahiran Valentino Rossi, hanya 46 unit ditawarkan

Tahun ini, lagenda lumba motosikal, Valentino Rossi akan menyambut ulang tahun kelahiran beliau yang ke-46 dan BMW menjadikannya istimewa dengan pengeluaran model edisi khas M4 CS. Hanya 46 unit akan ditawarkan kepada awam, sama seperti nombor yang digunakan oleh Rossi sepanjang karier beliau, iaitu #46.

Model khas ini turut mendapat input daripada Rossi sendiri, dan BMW menawarkannya dalam dua versi iaitu Sport dan Style, dengan kedua-duanya mempunyai perincian yang berbeza berbanding M4 CS biasa. Sebagai permulaan, versi Sport menggunakan warna Marina Bay Blue metalik, dengan logo 46 berwarna Tanzanite Blue metallic, manakala versi Style tampil dengan warna Frozen Tanzanite Blue matte dan tulisan 46 berwarna Frozen Marina Bay Blue di tepi.

Bukan setakat di tepi pintu, nombor yang cukup popular ini juga dicat di bahagian atas bumbung model istimewa ini, yang dibuat daripada carbon-fibre-reinforced plastic (CFRP), bersama tanda tangan juara dunia sembilan kali tersebut.

Bagi mengekalkan tema sama, gril hadapan serta salah satu cabang rim M pada kenderaan ini diwarnakan hijau terang – satu warna yang sudah sinonim dengan Rossi. Warna ini juga boleh dilihat digunakan pada angkup brek serta jalur pada pintu.

Bahagian dalam banyak menggunakan gabungan warna hitam dan Night Blue, termasuk kulit Merino yang membalut tempat duduk bucket M Carbon. Kontras warna kuning digunakan pada bahagian bahu tempat duduk serta stereng yang dibalut Alcantara, dan kemudiannya dilengkapkan dengan logo ‘VR46’ pada penyandar kepala serta tepi pintu. Setiap unit kereta istimewa ini akan datang dengan lencana keluaran ‘1/46’, diletakkan pada konsol tengah.

Bahagian mekanikal tidak diubah, dengan M4 CS Edition VR46 ini masih menggunakan enjin petrol enam silinder 3.0 liter twin turbo bersama transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda M xdrive, tetapi boost ditingkatkan kepada 2.1 bar untuk menghasilkan 550 PS (543 hp atau 405 kW) dan tork 650 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.4 saat manakala laju maksimum adalah 302 km/j (dengan M Driver’s Package).

Pembeli M4 CS Edition VR46 ini bukan setakat akan mendapat kereta yang mendapat sentuhan Rossi, tetapi juga pengalaman bersama dengan beliau. Anda akan diberi dua hari istimewa di Itali, dengan aktiviti khas seperti melawat VR46 Motor Ranch dan bersantai dengan Rossi, serta menyertai BMW M Driving Experience di Misano World Circuit Marco Simoncelli.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required